Asian Renaissance: Capacity Building for Future Leaders
LAPORAN ASIAN RENAISSANCE 2.0
LEMBAH IMPIAN COUNTRY HOMES
KOTA KINABALU, SABAH
2-7 DISEMBER 2007
Asian Renaissance: Capacity Building for Future Leaders in Southeast Asia 2.0 yang berlangsung pada 2-7 Disember 2007 yang lalu telah berakhir dengan jayanya. Program ini adalah usahasama antara Institut Kajian Dasar dan Sasakawa Peace Foundation. Program ini bertempat di Lembah Impian Country Homes, Kota Kinabalu, Sabah. Seramai 25 peserta dari negara Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina telah berjaya menamatkan program ini.
Para peserta telah didedahkan dengan konsep kepimpinan yang sebenar di samping dapat bertukar-tukar pendapat dan berdiskusi secara langsung dengan tokoh-tokoh politik Asia seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim (bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia), Prof Tay Kheng Soon (National University of Singapore), William Leong (Bendahari Agung PKR), Datuk Salehuddin Hashim (pakar Pengurusan antarabangsa), Din Merican (Profesor Pelawat di Universiti Cambodia), Rama Pratama (Ahli Parlimen termuda Indonesia), Shamsul Iskandar (Ketua Pemuda Parti KeADILan Rakyat) dan ramai lagi. Sepanjang program ini berlangsung, para peserta diberi penekanan bahawa generasi muda adalah pewaris negara dan tugas itu di pikul oleh pemimpin-pemimpin muda hari ini.
Program ini juga merupakan susulan daripada keberkesanan program Asian Renaissance 1.0 yang telah diadakan pada awal tahun ini. Objektif program ini cukup jelas dan setiap modul sepanjang program ini berlangsung dimanfaatkan sepenuhnya oleh para peserta. Di samping itu, para peserta juga berpeluang mengenali budaya masing-masing melalui sesi Malam Kebudayaan. Para peserta disajikan dengan persembahan kebudayaan dari setiap negara dan tarian tradisional negeri Sabah.
Hari terakhir program ini diserikan lagi dengan kehadiran Presiden Sasakawa Peace Foundation, Dr. Akinori Seki yang merasmikan majlis penutup dan kemudiannya menyampaikan sijil penyertaan kepada semua peserta program.
Related Post :- None Found
Entries (RSS)