Anak Muda – Pemangkin Perjuangan Rakyat

Jika semangat menjadi ukuran, tiada yang mampu menandingi sentimen 20,000 anak muda Anwar Ibrahim Club (AIC) menjelang Black 14 – ulangtahun gelita politik tanahair.

Jika sebelum ia disambut dengan renungan dan kesedihan, namun Black 14 kali ini memberi makna yang berbeza. Detik 12 malam 14 April 2008 membuka lebaran baru dengan pemimpin reformasi Anwar Ibrahim melangkah semula ke arena politik secara sah – menandakan bermula fajar baru politik Malaysia.

Beribu-ribu anak muda, bersatu dalam satu kata, akan berhimpun di Padang Sultan Sulaiman, Kampung Baru, bagi menyambut Anwar Ibrahim idola mereka.

Bagi AIC, persiapan menuju Black 14 telah bermula seminggu lebih awal. 24 jam sebelum tarikh keramat itu, konvoi-konvoi AIC dari serata negeri di Semenanjung akan mula bergerak menuju Kampung Baru.

Dalam masa kurang dari 48 jam, lebih 8,000 risalah dicetak dan diedar di sekitar kawasan tumpuan anak muda sekitar Kuala Lumpur dan institut pengajian tinggi. Juga, tiga ribu pelekat AIC turut dicetak dan akan diedar kepada orang ramai.

Dengan tenaga kerja yang kecil, ahli-ahli jawatankuasa dan sukarelawan AIC bertungkus-lumus memastikan program AIC malam itu berjalan lancar. Perhatian diberi khusus kepada projek menaikkan sepanduk sokongan di kawasan sekitar menuju lokasi sambutan Black 14, selain dari itu kumpulan-kumpulan kecil AIC menyumbang tenaga menampal 500 poster khas bagi menyambut kehadiran warga KL dan peserta-peserta majlis tersebut.

Dengan dana yang singkat, AIC amat menghargai sumbangan yang diberi oleh orang-ramai yang prihatin. Bagi tidak mensia-siakan bantuan mereka, ahli-ahli kelab bergerak dengan semangat kental dan memanfaatkan setiap sen yang disumbang dengan sebaik-baiknya.

Dan sumbangan mereka amat berbaloi. Keahlian AIC melonjak secara mendadak dan barangan berjenama AIC tidak pernah cukup menampung kemasukan ahli-ahli baru. Baju yang ditempah terpaksa dicetak semula berulang-kali bagi memenuhi permintaan.

Mereka tidak sabar untuk mengenakan seragam Anwar Ibrahim di majlis sambutan Black 14. Mereka berbangga dengan warna hitam dan jingga – warna rasmi AIC – dan moto Pemangkin Perjuangan Rakyat didakap dengan seluruh kekuatan jiwa.

Di forum www.anwaribrahimclub.com, keghairan darah-darah muda menjelang Black 14 amat dirasai. Cakap-cakap konvoi dan ‘aku mahu bantu!’ membanjiri server kelab. Di Myspace dan Friendster, tenaga kerja web AIC terpaksa bersengkang mata meluluskan komen-komen baru yang timbul dalam sekelip mata.

Siapa mereka ini? Dari peguam muda ke mekanik kereta, dari penganggur ke mahasiwa: siapa kata Anwar Ibrahim tidak relevan bagi anak muda Malaysia?

Jika Umno benar yakin anak muda bersama mereka, realiti AIC menyanggah kenyataan tersebut dan akan mengubah persepsi mereka kepada politik bermula Black 14 2008.

Related Post :

Iklan di Sini

More from this category

More from this author

More from our sponsor