Guan Eng tidak nafi penyertaan Arif Shah ke PKR
SHAH ALAM: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak menafikan khabar angin yang mengatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah (gambar) menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Beliau bagaimanapun turut tidak mengesahkan sejauh mana kebenaran khabar angin yang mula tersebar itu yang kononnya penyertaan Arif ke PKR kerana kecewa dengan penyokong Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang.
“Kami dalam Pakatan Rakyat menerima sesiapa sahaja yang ingin masuk menyertai kami yang menyokong prinsip yang kami perjuangkan.
“Saya pun tidak tahu dari mana laporan ini datang,” katanya dalam sidang media selepas menghadri Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini, hari ini.
Menurut Lim lagi Pakatan Rakyat sebagai sebuah parti demokratik mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk menyertai mana-mana komponen Pakatan Rakyat sama ada DAP, PKR mahupun PAS.
Tambah beliau lagi, sesiapa sahaja yang menyertai Pakatan Rakyat seharusnya sedar mengenai matlamat yang diperjuangkan berdasarkan prinsip keadilan sejagat.
Ditanya sama ada wujudnya usaha daripada pihaknya untuk membawa Arif yang menjadi calon Barisan Nasional (BN) menentang Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh yang lalu menyertai Pakatan Rakyat, beliau enggan mengulas lanjut.
Mengulas mengenai kehadiran bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim ke Pulau Pinang Jumaat lalu, Lim berkata perkara itu tidak memberi sebarang pengertian mengenai pendirian politik Zaid.
“Saya menghargai kehadiran Zaid bukan sahaja ke Kongres PKR malah ke Jamuan Makan Malam Raksaksa di Pulau Pinang.
“Ini menunjukkan beliau berkongsi wawasan yang sama dengan Pakatan Rakyat untuk wujudkan sebuah negara yang adil kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.
Sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini melaporkan, Arif Shah berada dalam keadaan dilema sama ada ingin terus kekal bersama Umno atau menyertai Pakatan Rakyat.
Arif Shah yang merupakan satu-satunya ADUN yang berjaya mengekalkan kerusi cawangannya untuk penggal kedua di bahagian Permatang Pauh berkata, beliau sedang serius mempertimbangkan kedudukan politikynya itu berikutan apa yang disifatkannya sebagai penyalahgunaan kuasa yang teruk dalam kepimpinan Umno Permatang Pauh yang diketuai Datuk Abdul Jalil Abdul Majid.
PETALING JAYA: Umno bahagian Permatang Pauh tidak pernah mengenepikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah dalam urusan pentadbiran parti bahagian itu seperti yang didakwa beliau sebelum ini.
Ketua penerangan Umno bahagian, Ahmad Sahar Shuib berkata, apa yang dikatakan oleh Arif Shah seperti yang disiarkan sebuah akhbar pada 29 November lalu adalah tidak benar sama sekali.
“Saya ingin nyatakan bahawa Umno Permatang Pauh tidak pernah mengenepikan YB Datuk Arif Shah.
“Kita sentiasa menjemputnya untuk hadir dalam mesyuarat bahagian kerana kedudukannya sebagai ADUN yang mewakili Umno dan BN (Barisan Nasionak),” katanya ketika dihubungi mStar Online hari ini.
Ahmad Sahar berkata, Umno bahagian itu juga tidak pernah mengeluarkan surat yang melarang Arif Shah daripada melibatkan diri dengan kerja-kerja di kawasan yang bukan di bawah penguasaannya seperti yang didakwa.
Berhubung kenyataan Arif Shah yang beliau belum membuat keputusan berhubung tawaran daripada pembangkang untuk melompat parti, Ahmad Sahar berkata, sebagai ADUN yang mewakili Umno, Arif Shah tidak sepatutnya membuat kenyataan sedemikian.
“Sebagai YB yang mewakili Umno, beliau seharusnya menolak tawaran tersebut tanpa menimbulkan keraguan di kalangan ahli Umno. Ahli boleh menilai yang mana pejuang sejati (Umno) atau pun tidak,” katanya.
Ahmad Sahar berkata, beliau turut tidak menolak kemungkinan isu ini timbul disebabkan Arif Shah tidak berpuas hati kerana tidak terpilih sebagai Ketua Umno bahagian setelah tewas kepada penyandang jawatan itu, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid pada pemilihan Oktober lalu.
“Datuk Arif telah bertanding merebut jawatan ketua bahagian dan tewas dengan hanya meraih 84 undi berbanding, Datuk Jalil yang mendapat 162 undi, manakala (bekas naib ketua bahagian) Datuk Pirdaus Ismail dengan 144 undi.
“Perwakilan telah menterjemahkan hasrat mereka dalam memilih kepimpinan Permatang Pauh.
“Kita berharap Datuk Arif menerima kekalahan itu dan menghormati keputusan kepimpinan Umno bahagian yang telah dipilih oleh perwakilan baru-baru ini,” katanya.
Ahmad Sahar berkata, dakwaan Arif Shah bahawa berlaku penyalahgunaan kuasa yang teruk dalam kepimpinan Umno bahagian itu adalah tidak berasas sama sekali kerana perwakilan sudah matang dalam memilih pemimpin mana yang mereka inginkan untuk menerajui parti.
“Jangan keruhkan suasana yang boleh menggugat usaha memperkukuh perpaduan di kalangan ahli serta pengundi.
“Jika ada sebarang masalah, elok diselesaikan di peringkat dalaman parti,” katanya.
Hari ini, sebuah akhbar melaporkan, Arif Shah berada dalam keadaan dilema sama ada ingin terus kekal bersama Umno atau menyertai pembangkang setelah mengaku mendapat tawaran untuk mellompat parti.
Menurut Arif Shah yang tewas kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya kecil Permatang Pauh 26 Ogos lalu, beliau turut dijanjikan ganjaran jika bersetuju untuk menyertai pembangkang.
Arif Shah sebelum ini dilaporkan terkilan dengan tingkah laku Ketua Umno bahagian itu yang mengetepikannya dalam setiap urusan pentadbiran parti itu di peringkat bahagian.
Katanya, beliau kecewa kerana sebagai ADUN Seberang Jaya, beliau tidak dilantik sebagai ahli tambahan dalam Jawatankuasa Bahagian, selain tidak diberi tugas dan tanggungjawab yang sesuai.
- None Found
Entries (RSS)