Reformasi Tanpa Anwar 5
Reformasi Tanpa Anwar, merupakan siri penulisan Sdr Amin Ahmad di laman Perakexpress, menyusuri detik reformasi yang dimulai oleh Anwar ibrahim pada 1998 setelah dipecat dari Kerajaan sehinggalah kini. Beliau cuba mencetuskan persoalan bukan stereotipikal tentang bagaimana “Reformasi tanpa susuk bergelar Anwar Ibrahim”. Kami akan menerbitkan secara berkala siri penulisan beliau, ikuti siri seterusnya….
Oleh: Amin Ahmad
Reformasi 2.0d
Reformasi tidak mati dek perubahan kecil dalam Pilihan Raya Umum 1999 oleh parti-parti pendiri Barisan Alternatif (BA). Untuk saya, proses reformasi ini tidak mati kerana ia adalah tuntutan lebih besar daripada BA itu sendiri.
Sejak pemecatan DS Anwar sampai 2001, tidak ada tanda seruan Reformasi 1998 akan surut. Di kampus, mereka yang mendokong UMNO-BN segan-segan mahu mengaku. Mereka lebih rela diam, termasuk pensyarah. Bukan mereka tidak ada pendokong, tetapi mereka dalam situasi yang amat defensif. Tidak ada manusia waras dan beragama boleh menerima tuduhan terhadap DS Anwar. Saya berani mengatakan bahawa 80% ahli UMNO sendiri percaya bahawa tuduhan terhadap DS Anwar itu fitnah, namun mereka pasrah kerana keyakinan salah bahawa kelangsungan agama dan bangsa itu hanya pada UMNO. Mereka gagal keluar daripada kepompong ini, lebih-lebih lagi Ketua Bahagian, Ketua Cawangan, Ketua Pemuda, Ketua Puteri dan sebagainya yang projek perniagaan melalui dasar perlindungan kerajaan masuk terus kepada mereka.
Kadangkala saya senyum sendirian apabila membaca ‘debat penuh emosi’ di dinding dan pintu bilik air di kalangan mereka yang menyokong kerajaan dan mendokong Reformasi.
‘Pahlawan kanan’ Reformasi 1998 rata-rata terdiri daripada anak muda yang terus bersama DS Anwar sejak mereka di dalam UMNO-BN. Selain mereka, beberapa ‘muka baru’ dari kalangan profesional mengisi wajah-wajah Reformasi. Mereka tewas dalam Pilihan Raya Umum 1999, tapi tidak kalah. Mereka kalah kemudiannya.
2001, selain tangkapan ISA6 (yang sebelumnya 10), ialah 2 mahasiswa – Jonah dan Fuad Ikhwan. Saya masih ingat saat itu mahasiswa dituduh membakar Dewan Tunku Canselor sebagai tanda protes kehadiran DS Dr. Mahathir yang akan merasmikan penutupan seminar yang saya hadiri – Penegasan Hala Tuju Idealisme. Masih ingat mulut lancang Datuk Azalina Othman yang menggesa Naib Canselor UM, Dato’ Anuar Zaini meletak jawatan kerana kebakaran ini. Tuduhan terhadap mahasiswa juga tidak ditarik balik meski akhirnya pihak keselamatan ‘mendakwa’ ia berpunca daripada litar pintas.
Saya masih ingat kemudiannya, selepas Jonah keluar dari tahanan ISA, dalam satu program perkongsian rasa, bagaimana ISA adalah satu Akta yang memberi ruang besar untuk salah guna kuasa. Ya, bagi mereka yang punya jiwa boleh melihat bagaimana siri salah guna kuasa ini diamalkan sejak dulu lagi. Dr. Burhanuddin Al-Helmi, Dr. Syed Husin Ali, Lim Kit Siang, Anwar Ibrahim dan ramai lagi adalah mangsa kepada Akta ini. Saya juga masih terbayang bagaimana sdr. Malek Husin menceritakan beliau ditangkap ISA dan dipaksa minum air kencing semasa dalam tahanan. Beliau akhirnya menang saman terhadap kerajaan bernilai kira-kira RM2 juta.
Protes anti-ISA juga membawa pembuangan mahasiswa daripada dapat terus mengikuti pengajian di kampus. ISA7 yang baru-baru ini dikenakan denda oleh mahkamah adalah satu tanda bahawa regim UMNO-BN tidak akan mengalah. Kuku yang mereka ada sedang disimpan dan akan digunakan sepantas kilat apabila kena waktunya.
Saya hanya dapat ingat sebahagian nama yang ikut serta mogok lapar membantah tahanan politik ISA. Antara kami ialah saya dan Maien dari kalangan mahasiswa. Selain kami ialah Muthanna, anak Pak Abu (YB Saari Sungib, mantan Presiden Jemaah Islah Malaysia yang di-ISA-kan pada waktu itu). Selain kami tentunya Raja Petra yang sempat saya berimamkan beliau dalam beberapa waktu solat sepanjang berkampung di Taman Melewar itu. Yang lain-lain saya ingat cikgu Bad, Kak Nora, Dato’ Sanusi, arwah Pak Lang Zaki, arwah Pak Non nasi kandar, sdr Hidhir, abang Nasir Isa dan seorang aktivis DAP (jika tak silap saya namanya makcik Siew Mei). Saya pohon maaf untuk mereka yang namanya tidak saya ingat untuk disertakan di sini.
Jujurnya, saya tidak kenal dan biasa pun bergaul dengan mereka ini. Saya hanya duduk membuat hal saya – baca, solat, ikut serta dengan program yang disusun khas oleh jawatankuasa Gerakan Mansuhkan ISA. (Arwah) Ustaz Fadzil ada berkunjung bersama tetamu dari Kedutaan Jerman. Nurul Izzah ada datang untuk Malam Seni Budaya. Kami malahan sempat berdemo di Kedutaan Amerika Syarikat pada hari Jumaat sempena membantah agenda Perang oleh Amerika Syarikat di Timur Tengah.
Sampai satu waktu, saya merasakan kepala saya amat berat sekali. Sepanjang di sana arwah Pak Non yang sering mengurut kepala saya. Anak Raja Petra (atau mungkin dari keluarga beliau) datang membuat pemeriksaan kesihatan terhadap kami. Sebelumnya Dr. Lo’ Lo’ dan Dr. Hatta Ramli juga berbuat yang sama. Saya difahamkan anak Raja Petra adalah seorang pakar kimia. Menurutnya kandungan gula dalam badan saya di paras kritikal – jika tidak silap saya angkanya 17, sedangkan paras normal 21. Maklumnya, saya boleh pengsan bila-bila masa dari saat itu. Raja Petra berseloroh “jika kau pengsan, kita akan buat kenduri!”.
Dalam hati saya berkata “jika ini takdir yang akan membawa rakyat mengingati Reformasi, maka saya rela”. Tapi hati saya juga bimbang. Benarlah satu kata-kata yang pernah say abaca bahawa “orang yang berani itu ialah orang yang hanya Tuhan dan dia saja yang tahu dia takut”. Sebenarnya bukan saja pengsan, malah mungkin mengancam nyawa dan kesihatan saya. Sejak mula kami yang muslim berniat puasa – minum yang minimum pada waktu sahur dan berbuka. Saya tidak ingat siapa yang berpesan kepada saya agar tamatkan mogok makan kerana saya masih muda dan perjuangan saya masih panjang. Meskipun saya kekal terus untuk beberapa jam selanjutnya, saya fikir pesan beliau cukup berharga.
Reformasi lebih besar daripada persoalan parti, apatah lagi pemimpin.
Saya masih terus rapat dengan ahli politik, aktivis parti dan aktivis Reformasi yang rencam latar belakang sektor mereka. Sejak saya pulang dan merenung semula makna Reformasi, saya fikir saya mahu menumpukan pengisian erti Reformasi yang lebih besar daripada persoalan parti, apatah lagi pemimpin ini.
Barisan Alternatif (BA) tidak kekal lama. PAS dan DAP bercakaran kemudian dan berpecah. PKN meneruskan kerjasama dengan kedua-dua parti ini dalam pengertian yang galau. DAP ternyata tidak dapat menerima kekalahan tokoh penting mereka yang dilihat tidak mewakili sentimen kaum bukan Melayu yang tidak dapat menerima usaha dan penjelasan PAS tentang Negara Islam yang dihajatkan.
Benar kata Saidina Ali k.w. bahawa “kebenaran yang tidak distrukturkan/dirancang akan ditewaskan oleh kebatilan yang tidak distrukturkan/dirancang”.
Bukan saja PAS dan DAP, malah ramai yang mula membawa haluan masing-masing. Perjuangan Reformasi jadi hambar dan kelihatan akan mati bila-bila masa saja. Keluarnya tahanan ISA kemudiannya tidak membawa apa-apa pengertian yang banyak. Ezam dan rakan-rakan ‘kantoi’ mengadakan rundingan sulit untuk kembali bersama UMNO-BN. Seingat saya, kritik terhadap Ezam paling mula kedengaran daripada mulut arwah Adlan Benan Omar, genius muda Malaysia yang telah pergi dijemput Ilahi 2 tahun lalu.
Saya tidak tahu pengalaman orang lain pada waktu itu. Bagi saya, pengalaman saya terhad tetapi saya kira cukup bermakna mengajar saya meniti kedewasaan. Saya mungkin tidak kenal, malah sampai sekarang cukup yakin bahawa tidak dikenali orang-orang penting dalam gerakan reformasi, dan saya gembira untuk itu. Ia cukup untuk membuat saya selesa menyebut bahawa saya seorang yang pro-reformasi tanpa mengira siapa yang sedia menggalas tugas ini.
Dalam Reformasi Tanpa Anwar 4, ada komentar menyebut tentang anak muda yang mengaku Reformis sedangkan yang mereka hanya tahu tidak sampai 1% pun tentang apa itu Reformasi. Jika panjang usia dan dipermudahkan, saya akan menjawab kenyataan ini sebaik kita masuk ke fasa Reformasi 4.0. Lama lagi, tetapi pengalaman saya dalam arus reformasi sampai waktu ini mendesak saya untuk menjawab kenyataan pincang ini – sekali dan untuk selamanya.
Sehingga tahun 2002, mungkin kita mampu mengingati kemenangan YB Saifuddin Nasution di Lunas untuk mengubat luka dan tertewasnya BA di Ketari sebagai makna lain tentang perjuangan.
Namun yang lebih penting, ingatlah, bahawa Reformasi lebih besar daripada persoalan parti, apatah lagi pemimpin. Memang kita mengakui karisma DS Anwar dan ketokohan berprinsip ramai pemimpin yang mengisi ruang di Pakatan Rakyat buat masa ini. Namun, tidak salah untuk kita terus berani berfikir tentang Reformasi Tanpa Anwar.
Related Post :- None Found
Entries (RSS)