Jatuh Hati Di Kuala Kubu – Hasmi Hashim

Hujung minggu ini tak macam hujung minggu yang lepas-lepas. Paling tidak, sejak 3 minggu lalu yang disibukkan jadual dengan syarah kepimpinan kepada khalayak anak muda seluruh Selangor (PeBT): program Gen-S.

Dari sana, selain pimpinan muda dari serata daerah di Selangor, kini lebih mengenali terutama kawan-kawan AIC.

Penghargaan sebab turut bertungkus-lumus mengemudi program berkenaan; bersama berhadapan dengan karenah birokrasi, satu bilik berkongsi 10 orang (!), dan segala titek-begit yang kadang-kala tidak munasabah dan tak perlu.

Syafiq Sunny berpeluh dalam dewan panas, tak berhawa dingin… juga Zul yang korbankan masa dengan anak kecilnya, selain Jeff Salleh dan Saifuddin yang nampaknya patuh dengan arahan ‘ketua’ mereka, Hakeem dan Mazir.

Jenaka bila Najwan jadi peserta! Terasa ‘tak wajar’ dia di situ. Namun, dunia memang begitu. Hebatnya, apabila diterima dengan lapang dada; dengan itu, dengan sendirinya dia telah meletakkan derajat yang lebih tinggi daripada segala pangkat kedudukan!

Kedua, harap-harap sebuah pasukan baru segera muncul; betapa ikatan sedemikian sesungguhnya jauh lebih panjang hayatnya, dan perlu dipertahan sepertimana kita sama berikhtiar mempertahan dan memperkukuh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor. Kesedaran ikatan dan pasukan sebegini tentunya jauh lebih manusiawi daripada apa-apa jawatan sekalipun.

Tapi, tetap sahaja… ya, hujung minggu ini, akan lain. Seolah-olah ada kerinduan, dalam kepayahan apa pun. Tempohari sempat juga menyanyikan lagu Sudirman Arshad:

Kalau pergi Kuala Kubu
Tulis nama atas batu
Saban hari ku menanti waktu
Pulanglah segera kepadaku
.

Pun begitu, masih berpeluang bercakap dalam program “Malaysia-Indonesia Damai” bersama sasterawan Indonesia, Seno Gumira Ajidarma. Dijadual turut sama sebagai panelis ialah Datuk A Samad Said, Siti Zainon Ismail, SM Zakir dan Raja Ahmad Alauddin. Moderator: Fathi Aris Omar.

Acara dianjur Frinjan. Ahad: jam 5 petang. Tempat: Dewan Perniagaan Cina Selangor.

Mungkin ada yang baik, dari sana.

~ HH, Genting Highland (“R.O.Y”).

Related Post :
    None Found

Iklan di Sini