Thursday, 8 March 2012

Perutusan Hari Wanita Sedunia 2012

Hari Wanita Sedunia yang disambut pada hari ini, 8 Mac 2012 adalah satu titik permulaan untuk masyarakat Malaysia  menyedari dan memberi ruang penghargaan yang tinggi terhadap peranan wanita dalam kehidupan seharian, bermula dari soal pengurusan rumahtangga sehinggalah kepada tatacara pentadbiran negara yang baik. 

Anwar Ibrahim Club (AIC) sebagai satu wadah Generasi Penggerak Zaman, begitu teruja dengan keterlibatan aktif wanita sebagai salah satu tenaga penting dalam pembentukan negara Malaysia yang lebih baik. Wanita tidak lagi hanya penting dalam satu-satu bidang khusus, tetapi sumbangan mereka menyeluruh dengan tidak mengenepikan keutamaan wanita sebagai tonggak yang penting dalam rumahtangga.

Peluang untuk wanita bersaing dalam apa juga bidang haruslah dibuka dengan lebih adil, dan dinilai berdasarkan keupayaan semasa mereka dan bukannya kerana faktor jantina semata-mata. Dalam bidang kerjaya, majikan haruslah menetapkan semula standard yang betul, agar wanita dapat menyumbangkan tenaga dan idea yang bersesuaian tanpa diskriminasi.

Eksploitasi wanita dalam semua perkara harus dihentikan serta-merta dalam melahirkan satu generasi baru yang tidak lagi terkurung dalam rangka jantina dan keupayaan fizikal, tetapi kebergantungan masa depan adalah berdasarkan peranan nilai dan pemikiran dimana idea-idea wanita dalam melaksanakan pembangunan keluarga dan negara tidak diketepikan.

AIC memandang ke depan untuk lebih berinteraksi dan menjalankan program-program yang menyentuh isu kewanitaan. Sebagai satu aset terpenting sesebuah tamadun, peranan wanita harus dikupas dalam perspektif yang lebih baik dan tersusun. Sesebuah negara akan menemui jalan mati jika peranan penting ini diabaikan.

Semoga semua harapan dan perancangan yang bercambah untuk pembangunan wanita yang dilakukan, memberi segala impak positif yang diharapkan. AIC akan terus mengambil jalan lurus bagi memastikan perjuangan untuk memartabatkan wanita tidak dilupakan. Atas semangat itu, selamat menjalani tahun mendatang dengan lebih daya persaingan dan proaktif, agar wanita lebih mandiri dan bebas melahirkan ekspresi, idea dan menyumbang tenaga. 

Selamat Hari Wanita Sedunia

Generasi Penggerak Zaman

SAIFUDDIN SHAFI MUHAMMAD
Presiden
Anwar Ibrahim Club (AIC) Malaysia

0 comments:

Post a Comment