Thursday, 31 May 2012

Bajet 2012 Perlu Dibentang Semula, Debat Wajar Diadakan - Anwar Ibrahim


Anwar: Pembentangan semula Belanjawan negara serta keperluan diadakan Debat ekonomi Pertumbuhan ekonomi yang lembap iaitu pada kadar 4.7% dalam 2012 seperti yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia baru-baru ini memberikan kesan serius terhadap kewangan negara. Ini adalah kali kedua pentadbiran Dato' Seri Najib Tun Razak gagal untuk mencapai sasaran penting ekonomi berdasarkan Belanjawan 2012. Bukan sahaja beliau gagal memenuhi sasaran pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2011, pentadbirannya juga tidak berjaya melepasi sasaran pertumbuhan pelaburan swasta pada takuk 14.4% sahaja (berbanding sasaran 16.2%).

Saya telah mengingatkan Dato' Seri Najib bahawa kecenderongan beliau memanipulasi unjuran pertumbuhan ekonomi untuk mempamerkan angka defisit yang lebih rendah adalah tidak bertanggungjawab. Ketika perbahasan Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat pada 10 Oktober 2011, saya juga telah menegaskan bahawa andaian ekonomi yang digunakan (iaitu pertumbuhan 5.0% - 5.5% dan 5% - 6% untuk tahun 2011 dan 2012) adalah tidak tepat.


Kini terbukti bahawa andaian tersebut yang digunapakai dalam perancangan Belanjawan 2012 bersifat tidak absah. Pengumuman Bank Negara Malaysia pada 21 Mac 2012 yang menyemak unjuran pertumbuhan ekonomi 2012 kepada 4% hingga 5% sahaja menyetujui gesaan saya supaya Belanjawan 2012 dibentangkan semula.

Oleh itu, saya ulangi gesaan yang dibuat di Dewan Rakyat sebelum ini bahawa Belanjawan 2012 seharusnya dibentangkan semula dan dibahaskan dalam Parlimen pada sesi bulan Jun ini memandangkan andaian pertumbuhan yang digunakan adalah salah. Jika Barisan Nasional berterusan membelanjakan wang negara berdasarkan belanjawan tersebut, ini akan memberikan kesan parah terhadap kadar defisit dan ianya boleh melangkaui had 55% nisbah hutang negara berbanding KDNK.

Kenyataan mengelirukan oleh Dato' Sri Najib bahawa Pakatan Rakyat tidak berhasrat untuk melaksanakan kebijakan ekonomi yang jelas setakat ini juga perlu disanggah. Beliau secara jelas telah mengelirukan khalayak rakyat tatkala menuduh Pakatan Rakyat menjanjikan gaji minima sebanyak RM4,000.

Pakatan Rakyat mencadangkan pendekatan tuntas untuk mengatasi kemerosotan ekonomi kesan ketidakcekapan tatakelola dan penyelewengan Barisan Nasional. Satu daripada penjajaran semula ekonomi yang dicadangkan adalah dengan mengubah dasar yang menumpukan kepada sasaran ekuiti 30% Bumiputera yang disalahguna oleh Barisan Nasional; kepada sasaran ekonomi berteraskan pendapatan minima RM4,000 sebulan untuk setiap isi rumah bagi setiap keluarga dalam tempoh lima (5) tahun tempoh pentadbiran Pakatan Rakyat. Malang sekali apabila Perdana Menteri Malaysia tidak dapat membezakan di antara gaji minima yang dikuatkuasa melalui undang-undang buruh dan sasaran pendapatan isi rumah yang dicapai melalui kebijakan ekonomi.

Sasaran ekuiti 30% Bumiputera telah dimanipulasi oleh kroni dan pihak berkepentingan untuk memperkayakan diri mereka sedang rakyat jelata terus sengsara. Jurang di antara kelompok kaya dan miskin semakin meluas dengan ketara akibat penyelewengan yang dilakukan kononnya atas keperluan mencapai sasaran 30% ekuiti ini.

Pengurusan kekayaan negara secara lebih adil seharusnya ditumpukan untuk memastikan setiap keluarga menikmati mutu hidup yang baik. Pendapatan setiap keluarga mesti ditingkatkan sejajar dengan peningkatan kos kehidupan. Setiap keluarga mesti meraih pendapatan yang lebih tinggi dari garis kemiskinan supaya mampu membuat pelaburan untuk masa depan anak-anak mereka.

Justeru, sasaran ekonomi yang ditetapkan oleh Pakatan Rakyat agar jumlah pendapatan setiap keluarga di Malaysia sekurang-kurangnya mencecah RM4,000 sebulan bukan saja tepat secara moral, bahkan mampu untuk dicapai menerusi gabungan dasar ekonomi pro-rakyat yang dicadangkan.

Dato' Seri Najib tidak sewajarnya mengkritik dasar-dasar ekonomi Pakatan Rakyat apabila beliau sendiri terus mengelak untuk berdebat secara terbuka tentang dasar-dasar tersebut. Jika beliau yakin bahawa Pakatan Rakyat tidak berkemampuan untuk melaksanakan tawaran-tawaran ekonomi tersebut, beliau seharusnya berani untuk mempertahankan pendirian beliau itu dalam perdebatan terbuka.

Keengganan beliau untuk berdebat dengan saya berkaitan dasar-dasar ekonomi hanya mengesahkan dakwaan mutakhir ini bahawa beliau sememangnya memimpin sebuah kerajaan yang lemah - baik dari aspek ekonomi, moral dan juga intelektual.

DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
KETUA PEMBANGKANG
30 MEI 2012

0 comments:

Post a Comment