Friday, 25 May 2012

Belia Penggerak Kebangkitan Masa Depan

Kelab Anwar Ibrahim (AIC) percaya pada Marcapada, peredaran zaman memerlukan belia untuk mengharungi kehidupan dengan lebih cergas dan proaktif. Arus pemodenan ketika ini diperderas dengan memaksimumkan minda ke tahap yang lebih kritis. Belia harus mengambil peluang dalam arus ini untuk bangun dan bawa perubahan kepada negara. 
 
Banyak informasi yang dapat dimanfaatkan belia dipaparkan dalam media massa, tentang kebobrokkan dan kezaliman oleh pemerintah kepada rakyat. Di seluruh dunia, terutama di Mesir, yang menjadi penggerak utama kepada naik dan jatuhnya sesebuah kerajaan. Belia adalah nadi kepada negara, pasak yang mendukung aspirasi negara, malah Imam Syafie pernah menyebutkan, “Jika mahu lihat masa depan sesebuah negara, lihat anak mudanya sekarang”

Selari dengan ayat daripada al-Quran, surah al-Kahfi, menjelaskan (13) “Kami ceritakan kepada engkau cerita mereka dengan sebenarnya. Sesungguh-nya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhannya, dan Kami beri mereka tambahan pimpinan” disambung dengan ayat berikutnya (14) “Dan Kami teguhkan hati mereka, ketika mereka berdiri dan berkata: Tuhan kami ialah Tuhan langit dan bumi, kami tiada memuja selain daripada-Nya. (Kalau kami sembah selain Allah), tentulah kami mengatakan perkataan yang salah.”

AIC meyakini pencerapan daripada kedua-dua ayat tersebut adalah, anak muda harus menjadi kental, harus keras dan berani untuk tolak kezaliman, tolak rasuah, jangan takut kerana Tuhan pasti bersama orang yang benar. Jiwa anak muda yang taat kepada agama sudah tentu akan menitik beratkan integriti dan nilai yang positif. Tidak harus ada kegoyahan kepada ugutan dan kekerasan yang dilontarkan penzalim.
Pastinya ramai anak muda yang tidak menyedari hakikat tentang hak-hak mereka yang diabaikan kerana terleka dengan ‘keselesaan’ palsu yang dihidangkan kerajaan Barisan Nasional. Adakah itu jenis anak muda yang ingin dihasilkan oleh Malaysia?

Anak muda harus berada di barisan hadapan, menjadi ‘whistle blower’ didalam negara, iaitu menjadi penggera kepada setiap perkara yang memberi impak buruk kepada negara. Hingga satu tahap, selayaknya anak muda bakal dijadikan kayu pengukur kepada kecemerlangan negara.
Selain itu anak muda harus meletakkan idea mereka pada tahap yang boleh dibanggakan, merebut peluang untuk jawatan penting dalam komuniti, kerana sudah menjadi norma masyarakat di Malaysia yang hanya menerima pendapat dan idea daripada individu yang berpengaruh atau berjawatan. Menjadi sia-sia apabila sebuah idea yang bagus menjadi kurang kredibilitinya kerana individu yang melontarkan idea itu tidak berpengaruh atau berjawatan.

Terutama dalam isu jaminan kehidupan, kestabilan dan keselesaan belia, sekalian anak muda telah muak dengan pelan jangka masa pendek yang dihulurkan oleh sang kapitalis yang akhirnya menjerut leher anak muda, sebagai contoh PTPTN. Asalnya sebagai pelan untuk membantu anak muda untuk belajar, namun modus operandinya adalah untuk mengaut keuntungan dan menguntungkan kapitalis. Anak muda yang baru menamatkan pengajian membawa pulang gulungan sijil beserta setimbun hutang yang akhirnya akan melambatkan tingkat hidup anak muda. 
 
Oleh itu, AIC menggesa agar semua anak muda untuk bangkit dan tolak kezaliman demi membebaskan jiwa dan naluri anak muda. Bangkit menentang kezaliman pemerintah. Isu anak muda bukan sahaja berkisar di PTPTN, AUKU yang menyekat pemikiran mereka, menyekat kebebasan anak muda untuk menyuarakan pandangan mereka tetapi juga kesengsaraan sekeliling yang meruntun perasaan . Jiwa anak muda memang fitrah mereka (seperti yang disebutkan dalam surah al-Kahfi) untuk menolak segala bentuk penindasan.

AIC melihat segala bentuk program yang dianjurkan oleh kerajaan Barisan Nasional di Himpunan Jutaan Belia 2012 sebagai tidak mencerminkan pembentukkan belia yang kita impikan untuk masa depan negara. Kejahilan dan kematangan akal tidak boleh bergerak seiring, maka penganjuran sesebuah program yang “berniat” baik tidak akan mencapai sasaran dengan pengisian aktiviti yang menjurus ke arah lara dan melalaikan.

Justeru AIC menyeru agar semua belia menjadi ejen perubahan yang akan menganjak pemikiran dan daya anak muda ke satu tahap yang lebih dihormati bukannya menjadi penerus pada sisi gelap yang memperbodohkan minda dan mencengkam perlakuan belia sehingga kehilangan kehebatannya.

Generasi Penggerak Zaman

Ahmad Amir Arshad Ahmad Shariman
Koordinator Pembangunan Belia
Anwar Ibrahim Club
Malaysia

0 comments:

Post a Comment