Tuesday, 15 May 2012

Kenyataan Media AIC: NAKBA dan ISA, Penjajahan Hak Manusia Yang Berterusan

Kenyataan Media AIC: NAKBA dan ISA, Penjajahan Hak Manusia Yang Berterusan
Kenyataan Media Untuk Hebahan Segera
15 Mei 2012
Hari ini adalah 15 Mei,  dimana setiap tahun semenjak 1948 orang Palestin akan menyambut Nakba. Tarikh ini adalah malapetaka dan bukannya pesta bagi orang Palestin. Tarikh Nakba ini 15 Mei 1948 adalah tarikh dimana sebuah negara haram Israel ditegakkan di bumi milik Palestin secara paksa.  Jadi pada tarikh musibah ini, orang Palestin di seluruh dunia akan mengingati kembali hari penuh tragedi.
Semenjak 15 Mei 1948 – sebut sahaja kesengsaraan apa yang tidak dilalui oleh orang Palestin. Tanah mereka dirampas dan kediaman berteduh mereka dirobohkam. Mereka kehilangan harta bend, kehilangan hak demokrasi, kehilangan kampung halaman dan kehilangan maruah diri. Rakyat Palestin diserang, dibunuh dan wanita dirogol. Sesiapa yang berani melawan akan dipenjara dan dikurung selama belasan malah puluhan tahun.
Kini setelah 64 tahun , nasib orang Palestin belum menunjukkan tanda-tanda akan reda. Orang Palestin ini terus dirundung malapetaka, walaupun kepimpinan mereka silih berganti. Apakah mereka masih boleh bertahan lima tahun akan datang, tiada siapa yang dapat memastikannya. Dunia terus bersimpati, tetapi apalah daya yang dapat dihulurkan bagi meringankan malapetaka besar ini. 
Kelab Anwar Ibrahim (AIC) melihat malapetaka Nakba ini sebagai sesuatu yang dapat dipelajari natijahnya oleh bangsa Malaysia. Keengganan untuk peduli akan nasib dan masa depan suram yang  telah dicipta oleh pemerintahan Barisan Nasional menjadikan kita semakin hampir dengan malapetaka Nakba yang sedang mengazab orang Palestin.
Malapetaka Nakba ini boleh diterjemah dengan kesengsaraan sebilangan tahanan ISA yang masih ditahan di Kem Kamunting nekad melancarkan mogok lapar bagi menuntut pembebasan mereka. Tindakan itu dilakukan memandangkan status mereka sebagai tahanan ISA masih tergantung setelah kerajaan bersetuju memansuhkan akta itu, Mac lalu. 

Tahanan ini dinafikan hak mereka untuk dibicarakan, malah setelah kerajaan Malaysia mengambil keputusan untuk memansuhkan ISA, status mereka sebagai tahanan tidak diperincikan dan terus tergantung untuk terus ditahan dengan zalim dibawah akta ini. Mereka ini dinafikan hak hidup bebas, diputuskan perhubungan dengan keluarga dan sahabat handai, penderaan emosi berkekalan dan juga keperitan hidup yang tidak terbela. 
AIC berasa bangga melihat begitu ramai anak-anak muda yang melahirkan simpati dengan perjuangan berterusan orang Palestin dalam malapetaka Nakba ini, tetapi jangan buta sejarah dengan tidak menoleh tentang kesengsaraan bangsa kita sendiri yang sedang dizalimi dan dianiayai dibawah akta ISA yang bukan sahaja merosakkan diri orang yang ditahan, tetapi mendera emosi dan perasaan ibu, ayah, isteri dan anak-anak mereka. 
Kitalah yang harus berani untuk menggerakkan zaman gelap ini ke arah yang lebih baik. Malapetaka Nakba ataupun kesengsaraan ISA adalah dua bentuk penjajahan hak yang tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah dunia yang sedang bergerak ke hadapan. Manusia punya hak yang perlu dihormati, dan bukannya ditindas sewenang-wenang demi kepentingan sesetengah pihak. 
Generasi Penggerak Zaman
Saifuddin Shafi Muhammad
Presiden
Anwar Ibrahim Club
Malaysia

0 comments:

Post a Comment