Tuesday, 1 May 2012

PERUTUSAN HARI BURUH 2012



Buruh memainkan peranan yang cukup penting dalam memacu hala tuju sesebuah negara di dalam dunia ini. Ini adalah kerana definisi dari kata buruh itu sendiri adalah orang yang bekerja dengan menerima upah atau imbalan dalam bentuk lain. Jadi pada dasarnya, semua yang bekerja baik diperusahaan atau diluar perusahaan dan menerima upah atau imbalan adalah buruh. Maka secara langsung, hampir semuanya daripada kita semua di sini adalah buruh di mana golongan buruh di Malaysia membentuk hampir 6.9 juta orang komuniti, dan ini adalah jumlah yang besar dan penting dalam menentukan jatuh bangun negara yang tercinta ini.
Maka untuk itu adalah wajar bagi kita memandang penting dengan menjadikan nasib dan usaha mereka ini sebagai sebuah matlamat utama. Justeru itu pengorbanan buruh harus dibalas dan dibela yang mana diakhirnya ia akan menjadikan segala usaha dan semangat yang ditunjukan oleh mereka diiktiraf sewajarnya. Tidak dinafikan peranan dan penglibatan tenaga buruh ini dikerah sehabis daya hanya untuk memastikan perjalanan bagi sesebuah sektor itu berjalan baik. Oleh kerana itu hak dan pembelaan nasib tenaga buruh ini harus diangkat martabatnya sejajar dengan taraf kemodenan negara.
Dari tahun ke tahun, kita melihat dan mendengar begitu banyak perlakuan tidak adil kepada buruh yang membuat kita simpati dan bersedih. Diantaranya buruh yang diabaikan oleh majikannya, perusahaan tutup kerana kemunduran teknologi berbanding negara lain dan kesan yang dirasakan bukan hanya kepada buruh itu sendiri, tetapi juga pada keluarganya. Dalam negara ini sering kali hak-hak kaum buruh diabaikan. Oleh kerana itu, mereka yang dipilih mewakili kaum buruh, dituntut tanggungjawabnya untuk menyelesaikan masalah tersebut. Akhirnya, kita semua dapat berdiri dengan berlapang dada dan tidak tertindas lagi oleh para majikan rakus dan mementingkan diri sendiri.
Perjuangan memartabatkan buruh ini telah bermula sejak tahun 1949 lagi, beberapa tahun sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya malah Akta Buruh yang paling awal digubal adalah pada tahun 1955 dan bermula detik itu kebanyakkan akta tidak berubah dan kelihatan semakin berterusan menjerat dan menindas golongan buruh. Mengapa perkara ini terjadi? Ini tidak lain adalah kerana sebenarnya kerajaan tidak pernah memikirkan untuk menaik taraf kebajikan buruh tetapi lebih mementingkan golongan majikan dan mereka yang berkepentingan. Malah seperti yang dimaklumi, ada juga beberapa bahagian dalam akta itu yang dipinda dan menyusahkan lagi golongan buruh.
Buruh sering terbelenggu dalam dilema yang berpanjangan. Susah payah membanting tulang untuk memajukan syarikat dan organisasi mereka, buruh-buruh ini dibayar dalam gaji yang paling minima dan tidak keterlaluan disebut sebagai tidak munasabah. Namun kegagalan kerajaan mengawal kenaikkan harga barang terus menekan dan mengikat kita semua. Kita terus menerus melarat dalam negara yang semakin lama semakin meminggirkan keperluan kita. 
Malaysia adalah antara negara yang melayan kesatuan buruh dan suara rintihan ahli-ahlinya dengan penuh ego dan tidak bertimbang rasa. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa tahap hak pekerja di Malaysia adalah di tahap kelas dunia ketiga. Marilah sejenak kita bandingkan keadaan buruh di negara ini, dengan keadaan buruh di negara-negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Thailand. Adakah rakyat sekalian tahu, negara jiran kita Thailand mempunyai skim retrenchment fund untuk membantu dan membela nasib golongan buruh yang dibuang dan mengalami diskriminasi di tempat kerja? Negara seperti Kanada pula mementingkan kebajikan buruh wanita yang bersalin, yang diberikan cuti sehingga 6 bulan ke 2 tahun sekaligus mengurangkan kebimbangan dan peluang untuk membesarkan anak-anak dengan tenang dan terjamin. 
Lebih mendukacitakan, pemantauan dan kawalan yang longgar terhadap kebanjiran pekerja asing menutup banyak peluang kepada buruh tempatan. Mengapa harus kita dipinggirkan di bumi kita sendiri? Ini belum dikira dengan kemasukkan pekerja asing secara haram dan mereka ini lebih banyak mendapat peluang kerja dan diupah oleh majikan-majikan yang mementingkan keuntungan kerana tidak ada penguatkuasaan yang ketat oleh kerajaan bagi membela nasib buruh tempatan. 
Pengurangan subsidi dan kenaikkan cukai servis telah mengakibatkan kenaikkan harga minyak dan  barang-barang komoditi ke satu tahap yang jelas menambah beban secara mendadak ke atas semua golongan buruh di negara ini. Kenaikan cukai servis dari 5% kepada 6% yang tidak diumumkan oleh kerajaan juga menunjukkan betapa kerajaan tidak pernah mementingkan perasaan dan hak rakyat. Ini tidak selari dengan kadar peratusan kenaikkan gaji sebanyak 2.6% setahun di Malaysia berbanding 7% setahun di Indonesia dan mengakibatkan hampir sejuta buruh mahir tempatan memilih untuk berhijrah ke luar negara. 
Atas kesedaran dan kefahaman itu, maka Buku Jingga yang digarap oleh Pakatan Rakyat tidak lupa mengisi ruang dan keperluan buruh dalam wacananya untuk membawa buruh ke tahap baru yang lebih baik. Ini adalah kerana Pakatan Rakyat menyedari dan meyakini betapa penting dan bernilainya golongan buruh sebagai penggerak dan penyumbang terbesar dalam proses modenisasi dan pembangunan negara. 
Oleh kerana itu Pakatan Rakyat terus - terusan memperjuangkan isu yang paling hampir dengan golongan pekerja iaitu gaji minima. Isu yang telah sekian lama membelenggu nasib golongan yang seharusnya telah diselesaikan namun dilihat tempang dan tidak mendapat tumpuan sepenuhnya oleh kerajaan yang ada. Pakatan Rakyat merasakan wajar isu gaji minima ini diselesaikan bagi membantu dan menstabilkan ekonomi rakyat yang semakin meningkat.
Ini sesuai dengan apa yang telah digariskan dalam dasar bersama Pakatan Rakyat yang ditulis di dalam Buku Jingga yang mana ia meletakan fokus kepada golongan ini ditahap terpenting dan utama memandangkan hasil sumbangan dan kerja kuat yang telah diberikan.
Maka, Hari Buruh ini menjadi titik tolak kebangkitan buruh dengan lebih progresif dalam menyumbang ke arah pembentukkan negara yang lebih baik serta akan memutuskan arah pandu buruh dan apa-apa jua yang dapat memberi manfaat pada semua akan kita bangkitkan demi kebaikkan bersama. Ayuh warga buruh sekalian, bangkitlah. 
Selamat Hari Buruh 2012
SAIFUDDIN SHAFI MUHAMMAD
Presiden
Anwar Ibrahim Club
Malaysia

0 comments:

Post a Comment