
Artikel Pencerahan ini diterbitkan semula khas untuk Wacana: Sembang Pencerahan.
E ra Renaissance
yang mengakar di dalam kehidupan orang Eropah, sejak penghujung abad
ke-15 itu, bukan “gerakan politik”. Sesiapa yang membaca sejarah akan
tahu, di abad-abad ke-16, 17 dan 18 adalah abad “gerakan kebudayaan”.
Kebangkitan atau apa disebut sebagai “kelahiran semula” Eropah. Terbit
daripada Zaman Gelap; Gothic Age.
Zaman itu disebut juga sebagai “Zaman Pertengahan”. Di antara
kelahiran semula Eropah yang pernah di suatu ketika, mempunyai era
kegemilangan di bawah khususnya empayar Rom, selain Yunani. Apabila
keduanya malap—kemudian runtuh—di hujung abad ke-5, tak ada lagi
pemikiran cemerlang yang melatari kehidupan Eropah.
Bukan sahaja tak ada Plato atau Socrates, namun tak ada bentuk-bentuk
pemikiran baru. Termasuk pemikiran kenegaran atau kemasyarakatan; yang
hari ini kita menyebutnya barangkali sebagai “politik”. Mengapakah
rentang waktu Renaissance disebut sebagai zaman gerakan kebudayaan dan
pemikiran?
Di sana, muncul karya-karya dan hasil kerja tangan manusia yang
cemerlang: zaman di mana manusia tidak hanya mendongak ke langit untuk
mendapat keajaiban Tuhan. Manusia sedar, doa dan pengharapan sahaja tak
memadai. Tangan mereka harus menyempuh besi, melakar lukisan, menyusun
batu-batu. Semua itu dibuat bukan lagi demi langit (baca: Tuhan). Tapi,
untuk diri mereka sendiri (baca: manusia) terlebih dahulu.
Barangkali ada yang bertanggapan ia cemuh; kerana ‘meninggalkan’
Tuhan sepi di langit hijau. Tidak! Kesedaran untuk mengasah bakat (akal
dan hati nurani) adalah apa yang dikehendaki oleh Tuhan jua. Atas salah
faham inilah, maka Eropah terhukum berada di gaung kegelapan selama 10
ribu tahun!
Ciri-ciri Zaman gelap itu berada di Timur hari ini. Dalam bahasa
politik, nama Tuhan dijadikan perisai alasan untuk berlaku zalim,
menindas, merangkus tenaga orang ramai. Ada negara yang dibangunkan,
jelas-jelas atas sentimen itu: “demi Tuhan,” kata mereka, “rakyat perlu
diselamatkan!”
Diselamatkan daripada apa? Wallahualam…
Mungkin daripada menjadi tidak mengenal Tuhan. Tuhan yang
dimengertikan oleh Sang Penguasa sering sahaja berbeza dengan Tuhan yang
dimengertikan oleh rakyat. Sebab itu, hari ini, kita boleh mendengar
bagaimana ada orang yang di pentas kekuasaan—sama ada politik atau
kebudayaan—bercakap dengan nada gempak. Merasakan diri mereka punya “hak
untuk menyelamatkan” yang lain. Bukan dengan jalan dakwah, tapi dengan
jalan pemaksaan.
Saya tak faham, saya tak mengerti, bagaimana ketika kita melihat
‘bayang-bayang’ agama begitu melebar di tengah-tengah masyarakat,
misalnya wanita yang bertudung yang semakin ramai berbanding seawal
waktu kemerdekaan dahulu; namun amalan mencerca, memfitnah turut semakin
dan semakin meluas.
Nah! Belum pernah di dalam sejarah umat Islam di Malaysia, misalnya,
binaan masjid sebanyak yang ada sekarang. Belum pernah juga di dalam
sejarah negara ini, binaan rumah-rumah ibadat agama lain sama ada
Kristian, Hindu, Buddha sebanyak yang ada sekarang. Rumah-rumah ibadat
yang tumbuh mencanak itu tak menandakan masyarakat kita bebas daripada
gejala buruk.
Ada masalah pemikiran [agama] di bawah semua ini. Masalah “pemikiran
agama” bukan bermaksud masalah agama. Ia adalah masalah agamawan, yang
ditambah dengan masalah sang pemikir di bidang-bidang sosial lainnya
seperti politik sampailah budaya, yang tidak cermat di dalam pemikiran,
atau sebenarnya tak berfikir langsung.
Agamawan, penulis, pelukis, politisi atau apa sahaja yang
mempengaruhi masyarakat tak lebih hanya sebagai simbol-simbol jawatan.
Bukan lagi amanah.
Bolehkah kita bayangkan, bagaimana seorang penulis, misalnya,
bertungkus-lumus menjadi penulis sedari usianya yang muda, tetapi
akhirnya menjadi seorang birokrat. Menjadi seorang pensyarah di
universiti atau pegawai kanan badan pemerintah. Di sana, daya fikirnya
semakin lemah. Mulai jarang menulis. Dan, akhirnya ‘mati’ dalam sarang
birokrasi.
Paling tinggi yang ia mampu lakukan ialah menyediakan rumah untuk
anak-isteri. Beserta sebiji-dua kereta. Dia tak pernah mampu memainkan
peranan sebagai fungsinya yang sebenar; iaitu menyeru manusia berbuat
baik. Bagaimanakah cara untuk menyeru manusia berbuat baik?
Bagi menjawab soalan ini, era Renaissance Eropah menjadi mustahak. Di
sana, seruan kebaikan wajar sahaja datang dengan keindahan. Atau
disebut juga sebagai “estetika”. Kebaikan tidak boleh dibalut dengan
“sarung yang jelek”.
Demikian apabila seorang seniman itu kurang berbakat, karya mereka
juga akan kurang mendapat tempat. Sebabnya tak lain, apabila karya itu
tak cukup nilai keindahannya. Tak cukup kuat untuk menjentik batin orang
lain. Pengkarya sebegini akan lebih berlagak sebagai pengkarya “syok
sendiri”.
Di tengah-tengah kekalutan inilah, sang penggila kuasa mengambil
posisi. Membisikkan kepada rakyat, siang-malam pagi-petang bahawa mereka
adalah ratu adil atau juru selamat. Adakah pencapaian tertinggi yang
bisa dilakukan oleh golongan pendamba kuasa ini?
Setakat yang kita dengar, bicara mereka tak lebih hanya bergulat
kepada soal “politik pembangunan”. Parti A berkata program pembangunan
ekonominya lebih baik dairpada Parti B. Begitulah sebaliknya. Setakat
itu.
Belum pernah di dalam sejarah bangsa kita, seorang yang bangun dan
berbicara dengan tegas bahawa persoalan pembangunan hanya bahagian
daripada cabang hidup bernegara. Tak pernah terfikirkah oleh kita bahawa
tak akan pernah ada di dalam sesebuah negara itu, semua rakyatnya kaya.
Takkan ada! Lalu, bagaimanakah nasib dengan rakyat yang miskin?
Hak untuk mendapat keindahan hidup, bukan hanya hak kepada golongan
kaya. Kebahagiaan juga adalah hak kepada golongan miskin. Inilah yang
tak disebutkan. Sekiranya dengan gaya politik yang ada sekarang, saya
percaya, akan lama lagilah bangsa kita mampu terlepas daripada terus
mengorbankan dirinya sendiri. Takkan ada kemakmuran di dalam mana-mana
bangsa andai “yang terbanyak” itu menderita. Sengsara.
“Semangat Renaissance” perlu segera mengambil tempat. Lelaki dengan
kupiah, wanita bertudung, bahkan rumah ibadat yang melacak-lacak takkan
menjamin sesebuah masyarakat beragama dan ber-Tuhan dapat hadir.
Penghinaan sesama manusia terus berlanjutan. Melihat pihak sana
menderita, seakan kepuasan di pihak sini.
Baik di bidang pemikiran, kebudayaan, ekonomi mahupun politik, kita
yang hidup hari ini memerlukan Sosok Renaissance, dan sosok itu takkan
hadir tanpa peranannya sebagai Sang Pencerah. Mahu tidak mahu, meski
sedikit sulit, kenyataan ini harus dikhabarkan kepada semua. Pagi ini
juga. Dengan yang demikian, semakin cepatlah kita mengenal yang mana
intan; yang mana satu kaca. JalanTelawi.Com
Hasmi bin Hashim, 35—seorang aktivis politik,
aktif memain peranan sebagai intelektual awam dengan kritikan sosial,
politik-kekuasaan dan kebudayaan. Di dalam arena penulisan lirik lagu,
beliau antara lain memakai nama pena Buddhi Hekayat.
0 comments:
Post a Comment