Friday, 8 June 2012

Flip Flop Politik Umno Yang Membimbangkan

KENYATAAN AKHBAR
PRESS RELEASE

ANWAR IBRAHIM CLUB
8 Jun 2012

KENYATAAN AKHBAR: FLIP FLOP PEMBEKUAN PTPTN, KERAJAAN HILANG PUNCA

Kelab Anwar Ibrahim (AIC) sebagai sebuah organisasi anak muda hari ini ingin menyelar tindakan flip-flop Kerajaan Umno BN yang cuba bermain tarik tali dan berpolemik tentang pinjaman PTPTN kepada dua IPTS yang dinaungi Kerajaan Selangor iaitu Unisel dan KUIS.

AIC hairan bagaimana sebagai sebuah kerajaan yang menguruskan aspirasi rakyat dan pembinaan masa depan, bertindak bodoh dengan mengugut masa depan anak-anak muda hanya kerana berbeza polisi dengan musuh politik.

Seharusnya BN lebih ampuh untuk menegakkan dasar pendidikan mereka, bukan dengan membekukan pinjaman PTPTN dan membuat kenyataan dangkal ianya sebagai 'peluang' Pakatan Rakyat melaksanakan pendidikan percuma.

PTPTN: SASARAN AWAL BN YANG MENEMUI JALAN BUNTU

Pada perkiraan awal, BN menjangkakan golongan mahasiswa yang terlibat akan cemas dan panik lalu menolak dasar pendidikan percuma dan mengangkat 'PTPTN' sebagai tunjang yang membolehkan pendidikan tinggi berlangsung.

Namun melihat kepada kebarangkalian dan kemampuan Kerajaan Selangor untuk menyelesikan masalah tersebut, melalui pengumuman Unisel akan mencairkan aset bagi membantu mahasiswa ini, BN mula cemas dan mengubah taktik.

Ini ditambah dengan sentimen anti kerajaan Umno BN yang mula membahang di laman sosial terutamanya Twitter. Malah wujud pendapat tidak senang dari pimpinan Umno BN sendiri berikutan langkah kurang bijak dari Khaled Nordin Menteri Pengajian Tinggi.

Maka hari ini, melalui SMS yang disahkan pegawai PTPTN bahawa pejabat Menteri telah mengeluarkan arahan pembekuan ditarik semula.

Namun apa yang Khaled Nordin dan BN tidak buat perkiraan adalah rakyat telah sedar bahawa regim ini pada bila-bila masa yang mereka kehendaki, keperluan dan hak rakyat boleh disekat dan ditarik begitu sahaja dan BN sedang menguruskan sebuah zaman yang nyata berbeza , zaman yang dipenuhi anak muda idealis dan berani untuk melawan kezaliman.

Sebarang tindak-tanduk melampau dan bodoh oleh pemerintah pasti akan disambut dingin dan menemui jalan sempit untuk dilaksanakan. Hari ini telah membuktikan tekanan hebat oleh rakyat terbanyak membuatkan kerajaan lemah ini kecut perut dan menjilat ludah mereka sendiri.

AIC percaya zaman untuk menggunakan rakyat sebagai 'tebusan' politik telah berakhir. Saat ini AIC yakin lonjakan sokongan yang datang dari golongan atas pagar terhadap ketelusan Pakatan Rakyat, telah meningkat pada satu tahap yang membanggakan. Riwayat pemerintah zalim bakal berakhir atas satu kesilapan yang mereka sengajakan.

GENERASI PENGGERAK ZAMAN

SAIFUDDIN SHAFI MUHAMMAD
Presiden
Anwar Ibrahim Club
Malaysia

0 comments:

Post a Comment