Sunday, 10 June 2012

Apabila Baju Pun Bahaya - Sebuah artikel Hasmi Hasyim




Pakaian, pertama-tama, adalah untuk menghormati diri sendiri, disusuli menghormati orang lain. Dalam kata mudah, berpakaian adalah kerana menghormatinya diri sendiri terlebih dahulu, yang kemudian sekaligus untuk menghormati orang lain. Mereka yang gagal berpakaian secara ‘betul’ dan kemas, tidak lain adalah akibat jahil dan tidak beradab. Dia sesungguhnya telah mencela diri sendiri.

Ada istilah lain yang mewakili kata “kemas” yang wujud dalam istilah Inggeris, iaitu “preppy”. Bagi mahasiswa universiti di penghujung 1930 dan 40an, berpakaian secara “prep” atau “ivy” adalah semangat zaman. Universiti seperti Harvard, Yale dan Princeton mendepani gaya pakaian yang kemas kalangan siswa dan siswinya sehingga presiden Amerika, JF Kennedy juga digolongkan dalam kelompok preppy itu.

Misalnya pada 1960, dalam debat kepresidenan yang paling ingati di dalam sejarah Amerika Syarikat antara JF Kennedy dengan Richard Nixon. Debat berkenaan disiarkan langsung ke seluruh Amerika—Tanah Melayu ketika itu baru berusia tiga tahun, selepas merdeka.

Di kaca TV, yang didengar dan terlihat bukan hanya hujah kedua tokoh—di mana pada hari-hari itu, Amerika dikatakan berada “di persimpangan jalan” dan “saat pentafsiran pemikiran politik”—tetapi juga cara kedua calon itu duduk, berdiri, berjalan, bahkan berpakaian.



Pelakon Dev Patel di Savile Row.
Kita dapat mengikuti debat itu hari ini dengan montaj hitam-putih. Kennedy lengkap dengan suit (jaket dan seluar) gelap, sementara Nixon pula agak cerah. 

Keduanya bertali leher. Bukan sahaja hujah Kennedy dianggap lebih kemas, tapi juga pakaiannya… berbanding Nixon. Nixon menolak untuk dikenakan make-up di muka. Dia nampak berpeluh, kurang sihat; sementara dia sebenarnya baru sahaja keluar selepas mendapat rawatan di hospital.

Nixon yang lesu, tidak yakin diri tak dapat menandingi Kennedy yang cerdas dan mengalirkan hujah dengan jelas. Di kubu kuat Ku Klux Klan, di Dallas, Texas; tiga tahun kemudian, Kennedy ditembak. Di kepala.

Bersama dalam limosin yang dinaiki Kennedy, si isteri, Connally. Perihal daripada peristiwa itu ialah Kennedy kebetulan sedang mengenakan kemeja daripada sebuah jenama Amerika… Kemeja itu kemudiannya segera popular. Jualannya mendadak. Ia menjadi lambang kepada “orang liberal”. Bukan sahaja di Amerika, tapi di seluruh dunia.

Peristiwa itu, dan sekaligus kemeja itu, hanya sebahagian daripada peristiwa dan hubungan antara “politikus-dengan-baju” (pakaian). Tanpa arahan dan perintah sesiapa, baju jenama Brooks Brothers (buatan Amerika) pun dianggap menjadi lambang pakaian kaum liberal. Bukan sahaja di Amerika, tetapi di seluruh dunia. Ia seumpama pakaian ‘seragam’, meski tidak rasmi.

Di sisi lain, puak pelampau kulit putih seperti Ku Klux Klan juga mempunyai ‘pakaian seragam’-nya: baju panjang putih ala-jubah, bertopi menutup muka dengan cuma lubang di bahagian mata dan topi itu mengucup tinggi di atas kepala.

Soekarno dan JF Kennedy.
Dalam sejarah moden, pakaian seragam selalu dikaitkan dengan aparat keamanan seperti tentera dan polis. Begitu juga, untuk anak-anak sekolah atau persatuan di sekolah seperti pengakap, pandu puteri, kadet polis dll. Tidak lain pakaian seragam, seperti kata Ozwald Boateng (pereka fesyen kelahiran Uganda yang membesar di United Kindom) kepada anak lelakinya di dalam teksi pada satu pagi, pakaian seragam “adalah untuk mewujudkan rasa bersama”.

Psikologi “aku adalah kita” [atau “kami”] setiap individu yang berada di dalam sesuatu kelompok atau kumpulan. Dengan pakaian seragam, per-orang-an telah ‘menyerah’ untuk berkumpulan/kelompok. Kuasa dikuasakan. Individu perlu tunduk kepada Kelompok: ia sebuah permulaan apa yang dianggap sebagai “disiplin”, sekaligus penyerahan. Tapi tak cuma itu, yang kini jadi perhatian ialah, pakaian seragam juga semakin bertujuan untuk membezakan satu kelompok dengan kelompok lain.

Mahathir Mohamad dan Tunku Abdul Rahman.
Demikian, di Malaysia, ada parti-parti politik yang mempunyai pakaian seragam sendiri. Umno, misalnya. Parti itu secara umum menjadikan baju Melayu, iaitu antara pakaian kebangsaan, sebagai pakaian seragam mereka.  Dalam Perhimpunan Agung Umno, itulah pakaian seragam mereka. Dan, ketara sekali pada tahun-tahun 1970an sehingga 90an, sayap pemudanya mempunyai pakaian seragam dengan kemeja yang diubah-suai dengan memasukkan unsur-unsur pakaian pasukan keamanan. Di bahu kemeja dipasangkan “sayap” sepertimana lazimnya pada baju pasukan polis; atau seperti pada bush jacket.
Jaket “bush”—yang mempunyai ciri-ciri pakaian tentera Britain—selalu dipakai oleh para pemburu. Dikenali juga sebagai “jaket safari”. Dipanggil “bush” atau “safari” kerana menjadi pakaian lazim dan popular di awal abad lalu oleh pemburu Anglo-Amerika. Hanya pada 1950an, jaket bush menjadi semakin popular apabila dipakai oleh Ernest Hemingway: penulis dan pemenang Anugerah Nobel. Hemingway adalah orang Amerika.

Dapat diperhatikan, jaket jenis itu selalu juga dipakai oleh pemimpin dunia ketiga pada tahun-tahun 1960an sehingga 90an. Mantan Perdana Menteri, Dr Mahathir Muhamad sehinggalah Abdullah Ahmad Badawi masih sering mengenakannya. Pemimpin seperti mantan Presiden Indonesia, Soekarno dan Presiden Republik Rakyat China, Mao Tze Tung juga tidak lepas mengenakannya. Bukan aneh dan seperti kebetulan apabila jaket berkenaan nampak selalu dikaitkan dengan pemimpin diktator dan kuku besi.

Begitu pakaian penting, tokoh seperti Hitler memberi pembaharuan kepada pakaian tentera Nazi: seragam yang dia juga memakainya hampir tiap masa. Unsur ketenteraan, dengan garis besar dan warna garang adalah elemen yang begitu jelas sekali di dalam pakaian pasukan tentera Fuhrer.

Maka, politikus dianggap ‘tak kena’ untuk berpakai seperti umum. Ia memerlukan tingkatnya tersendiri, kerana walau bagaimana sekalipun ia mahu menampakkan diri sebagai “sebahagian daripada rakyat”, politikus tetap perlu berjarak daripada masyarakat. Dalam dunia fesyen, politikus sering dikelompokkan bersama tokoh korporat, tokoh media dan selebriti. Selain raja-raja, golongan ini adalah golongan yang sering memperaga pakaian pada tingkatnya sendiri. Bukan hanya ketika di kantor, waima, lebih-lebih lagi di tempat awam; dan, di hadapan lensa kamera. Mereka mendapat perhatian.

Begitu kritikan yang pernah dilemparkan para pembuat baju di Savile Row; kritikan terhadap mantan Perdana Menteri Tony Blair kalamana ketika Blair berkempen untuk ke jawatan Perdana Menteri, dia dilihat sering mengenaikan pakaian “tidak kemas” atau tidak secocok sebagai seorang calon PM. 

Savile Row (atau dipanggil “Row” sahaja) pula tidak lain adalah nama jalan di tengah-tengah kota London; wilayah dengan teres kedai yang jadi pusat pembuatan suit paling berprestij di UK—mempunyai sejarah 300 tahun dalam pembuatan pakaian, khasnya pembuatan suit lelaki.

Di situ, ada beberapa toko pakaian. Menjadi tradisi di toko-toko itu, para pembesar negara setingkat raja dan para putera mereka, pemimpin politik sehingga pelakon dan penyanyi rock seperti anggota band The Beatles pernah membuat pakaian, di sana. Di mata pembuat baju di Savile Row, watak seperti James Bond misalnya bukan siapa-siapa. Merekalah yang membuat pakaian bagi watak yang termasyhur ke seluruh dunia. Hollywood dengan Savile Row, terasa dekat sekali.

Evolusi di Savile Row, bukan hanya kepada pembuatan pakaian, atau fesyen, namun sehingga kepada perkembangan teknologi kain/fabrik. Pernah dahulu, kain untuk dibikin pakaian agak berat sehingga 16oz, namun sudah berjaya diturunkan kepada 11oz… sekaligus menjadikannya lebih lembut. Idea itu dilakukan oleh Michael Alden ketika beliau melihat sebuah lukisan/illustrasi “pre-Suea Anthony Eden” yang sedang melintasi Place de la Concorde di Paris. Kata Alden, “the suit’s light hue and jaunty style are remarkably modern”. Dan dunia fesyen pun beranjak lagi…

Antara yang paling diingati di Savile Row tidak lain suit yang dipakai oleh mantan PM, Sir Winston Churchill yang sedang memegang senjata api. Foto itu dirakam pada 1936 dan pakaian yang dipakai Winston adalah hasil tangan Henry Poole. Baru awal Mei lalu, pembuat suit di Savile Row membuat protes jalanan, membantah sikap tak ambil peduli pemerintah yang membiarkan sebuah syarikat buat baju t-shirt kanak-anak untuk membuka tokonya Row.

Bagi pembuat pakaian dan orang yang tahu sejarah besar Savile Row, aadalah satu penghinaan bagi sebuah syarikat pembuat kemeja-T yang cuba menumpang sejarah Savile Row untuk kepentingan perniagaan yang tak ada kena dengan tradisi memotong dan menjahit suit. Ini adalah perbuatan yang dianggap tak beradab sama sekali. Ini samalah dengan syarikat pemberi hutang (along) yang membuka cawangannya bersebelahan bangunan bursa saham.

Politik dan pemimpin semujadi (“natural leader”) takkan terpisah dengan pakaian: begitu sejarah tokoh besar dilukiskan. Dalam banyak rakaman foto, misalnya Tunku Abdul Rahman, beliau masih mengenakan sapu tangan (atau dipanggil juga sebagai “pocket square”) bukan cuma untuk blazer, tetapi juga untuk baju Melayu. Malah pemilihan warna, kain dan material antara baju, seluar dan kasut yang dipakai oleh Tunku sangat tepat dan boleh dianggap sebagai ‘betul’. Beliau saya namakan sebagai antara tiga orang di Asia Tenggara yang berpakaian paling kemas dan ‘betul’ disamping mantan Presiden Indonesia, Soekarno dan Sultan Brunei, Sultan Hassanah Bolkiah.

Apabila pakaian—sepertimana juga ucapan politik yang dapat memukau—maka pada tingkat ini, pakaian adalah ‘bahaya’. Sama kuatnya dengan media, sebaran atau barangkali media sekalipun. Barang diingat, awal perkembangan fesyen dan pakaian di Eropah tetap mempunyai pengaruh dengan saudagar dan pengunjung yang datang dari Timur, khususnya China, India dan wilayah-wilayah orang Islam sebelum Abad Renaissance. Inovasinya pun beranjak dari sana; sementara pembuatan suit sekalipun, hanya dikatakan mencapai tahap kesempurnaan pada sekitar 1940an; baru sahaja 60 tahun lalu. Bukanlah terlalu lama untuk bangsa kita segera memahami dan ‘memakainya’.

Lantas, pakaian harus menjadi bahagian daripada ‘kesedaran’ baru kepada bangsa-bangsa yang mahu menjadi tamadun yang besar. Ia adalah bahagian daripada agenda pencerahan, kerana, bangsa yang besar tentu sahaja dengan pakaian yang hebat dan beradab.

Boateng di dalam sebuah dokumentaru bertajuk “Why Style Matters” (2009) itu, juga menyebutkan bahawa “fesyen berubah, tetapi membuat pakaian kekal”. Dia sebenaarnya telah membayangkan bahawa—meskipun dia seorang pereka fesyen—tetapi ada yang “abadi” di sana. Mungkin sahaja yang abadi yang dimaksudkan Boateng adalah tradisi pakaian itu sendiri. Ketika Tuhan menciptakan pakaian, inilah yang dia pesankan sepertimana yang saya kutib dari Quran, surah Al-A’raf ayat 26: “Hai anak cucu Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu”.

Supaya manusia beradab. Supaya tamadunnya hebat.

* Artikel diatas ditulis oleh Hasmi Hasyim Tulisan ini awalnya adalah nota bertajuk “Politik Pakaian” untuk Tingkatan 2, Sekolah Politik Institut Kajian Dasar (SP-IKD) di Hotel Quality, Shah Alam: 4 & 11 Mei 2012

0 comments:

Post a Comment