Tuesday, 26 June 2012

DARI TAGHYIR al-NUFUS KE MEMARTABAT UMAT

Oleh: Amidi Dato' Abd Manan

Membaca buku hasil karya Dato’ Dr Siddiq Fadzil yang lebih dikenali sebagai Ustaz Siddiq Fadzil (USF) yang terkini berjudul Islam dan Melayu : Martabat Umat dan Daulat Rakyat amat mengujakan. USF mengulas satu persatu isu yang ditampilkan dengan pesona hujah dan bahasa yang menggamit ghairah membaca tanpa henti.

Hubungan rakyat dan raja yang terukir dalam peradaban Melayu amat kuat dipengaruhi oleh pandangan sarwa  yang diterasi oleh Islam. Status insan yang memiliki izzah tidak membedakan raja dan rakyat jelata perlu dipelihara oleh semua pihak.  Raja yang di pertuankan oleh bangsa Melayu bukan satu status yang tidak boleh dicabar atau terlepas dari tangungjawab sebagai pengemban amanah Allah.

Sang penguasa perlu untuk memelihara maruah rakyat serta melaksanakan tugas dengan penuh rasa tawadhu’ , menyedari hakikat bahawa pernghisaban Allah tidak akan melepaskan sesiap di akhirat kelak. Beberapa contoh yang dibawakan oleh USF mengisyaratkan bahwa transformational leader bukan sesuatu yang mustahil dicapai. 

Ia bukan satu keistimewaan yang hanya dapat hadir dengan kesaktian yang di luar kebiasaan. Begitu juga disenaraikan sejumlah ciri kepimpinan yang dituntut oleh agama yang telah terbukti berupaya membina tamadun yang hebat dan berwibawa.

Umat Melayu adalah umat yang dibentuk dalam acuan Islam sejak sekian lama. Ia terbukti dengan banyak hasil kesusasteraan dan catatan sejarah yang menunjukkan pengaruh Islam dalam sejarah dan kebudayaan Melayu, seperti dalam ungkapan tradisional berikut:


" Bergantung kepada Yang Satu
Berpegang kepada yang Esa
Tuah hidup sempurna hidup
Hidup berakal mati beriman
Malang hidup celaka hidup
Hidup tak tahu halal haram "


Bagi bangsa Melayu diangkat martabatnya, bangsa Melayu perlu kembali ke akar umbi kekuatan peradabannya. Kerana disitulah usaha yang seharusnya ditumpukan dan telah terbukti sejak zaman berzaman. Islam sebagai punca kekuatan bangsa Melayu seharusnya difahami dan dihayati dari segala aspek kehidupan.
Islam yang membawa misi tahriri-tanwiri (pembebasan dan pencerahan) melepaskan umat Melayu dari kepercayaan tahyul dan mengangkat martabat keinsanan setiap individu Melayu. Justeru itu, taghyir al-nufus merupakan agenda wajib bagi mereka yang inginkan perubahan. Ia mestilah meliputi segala sudut kehidupan termasuk jiwa dan minda bangsa, juga watak dan mentality qabiliyyah li ‘l-isti’mar atau colonizability. Idea ‘pentaghyiran’ didokong oleh ramai pejuang Islam seperti Rashid Rida, Afghani dan Amir Shakib Arsalan.

Resam bahari (kelautan) dalam budaya orang Melayu diolah dengan indah oleh USF:

Tradisi bahari atau budaya kelautan telah membentuk watak yang kuat, berdaya tahan dan berdaya juang. Di darat banyak tempat selamat, banyak pilihan untuk berteduh dan berlindung, bersembunyi dan berdiam diri, mengelak dan menghindar. Tetapi di laut tidak banyak pilihan, malah mungkin tidak ada pilihan sama sekali. Anak laut tidak dapat lari dari gelombang dan taufan, tidak dapat menghindar dari ribut dan badai.

Tidak ada pilihan bagi anak laut selain menghadapi dan menaklukinyadengan sepenuh keberanian dan kekuatan. Kehidupan dan budaya kelautan mendidik bangsa ini menjadi bangsa yang bijaksana yang mampu membaca tanda, menafsir isyarat dan menangkap pesan yang dibisikkan oleh angin dan ombak, burung dan ikan.

Kebejatan dalam masyarakat seperti gejala rasuah, kehilangan peduli sosial, gaya hidup mewah yang keterlaluan, kehilangan keberanian dan kerakusan penguasa tidak terlepas dari singgungan dan kritikan USF. Pemerhatian dalam ruang sejarah bangsa mahupun catatan al-Quran memberikan satu tanggapan yang bertenaga bersama panduan serta tamsilan yang bersahaja.

Sajak Sasterawan Negara Usman Awang yang berjudul ‘Surat Dari Masyarakat Burung Kepada Datuk Bandar’ adalah satu sindiran tajam terhadap penghinaan maruah, begitu juga sajak ‘Di Negeri Amplop (envelope)’ karya HM Kiyai Hasan Bisri yang menyindir gejala rasuah yang berleluasa.

USF juga menyentuh beberapa persoalan pemikiran yang berat seperti keadilan, hubungan Islam dan demokrasi, pemikiran ilmu kalam, tasawuf falsafi dan pemikiran fiqh di alam Melayu.

Bahasa dan sastera mendapat tempat yang istimewa apabila disentuh secara khusus dalam bab yang ke sepuluh.

Menyorot kebangkitan dan kesedaran Islam di rantau Melayu lewat abad ke -20 dengan mengungkap peranan ABIM dalam arus tersebut perlu menjadi renungan kita semua. Cabaran dan tribulasi yang bertali arus dari segenap sudut melahirkan satu pertubuhan yang mantap, tahan diuji dan tegap menempuh arus perubahan.

Justeru itu kepada semua pendokongan gerakan buku ini adalah satu bacaan wajib untuk kita semua sekiranya kita bersungguh-sungguh mahukan kefahaman latar, pemikiran dan hujah dalam mendepani rempuhan globalisasi sebagaimana terungkap dalam khatimah buku ini:

Demikianlah antara cabaran ketamadunan masa kini yang perlu ditangani dengan pemerkasaan budaya kita sendiri, pengukuhan jati dirinya dan penyegaran nilai-nilai tradisinya. Kesediaan untuk memanfaatkan segala kebaikan dari kebudayaan lain harus diibangi dengan kesedaran jati diri dan kewaspadaan terhadap segala bahaya. Kebudayaan Melayu-Islam harus menjadi kebudayaan yang kuat untuk memungkinkannya berfungsi sebagai wahana kebangkitan umat.

(Untuk mendapatkan buku "Islam Dan Melayu: Martabat Umat Dan Daulat Rakyat" sila menghubungi 019-3826700 serta emelkan pada melayu.islam2020@gmail.com)

Penulis adalah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

0 comments:

Post a Comment