Monday, 16 July 2012

Charles Bukowski (1920-1994)



Mati pada umur 73, meninggalkan sejumlah sajak, cerpen, novel dan tidak berlebihan, mitos. Tahun 1994, tidak lama selepas menyiapkan novel terakhir (Pulp), postmortem di bawah nama Henry Charles Bukowski dikeluarkan dengan tercatat sebab kematian sebagai leukimia. Postmortem yang agak membosankan untuk seorang tua lunatik yang mengibar bendera hitam sepanjang jalan sehingga digelar ‘The Poet Laureate of Skid Row’. Tapi untuk seseorang yang bernama Bukowski, orang tidak peduli untuk bercakap macam mana dia mati.

Meninggalkan bangku sekolah, Bukowski muda datang ke New York untuk jadi penulis sebelum mendapati keputusan itu adalah yang paling buruk dia pernah buat. Gagal mendapat tempat sebagai penulis, dia cuba bertindak bijak dengan bekerja di pejabat pos. 10 tahun kemudian, dia berhenti kerja kerana berpendapat bahawa dia tidak ditakdirkan untuk menjadi posmen, tapi lebih sebagai seorang genius. Satu-satunya masalah dengan pendapat ini ialah, tak ada sesiapa tahu kecuali dirinya sendiri.

“It began as a mistake,” dia menulis novel pertamanya yang menaikkan nama Henry Chinaski, watak utama novel yang juga merupakan parodi dari satu dekad kehidupannya sebagai pekerja pejabat pos. Novel Post Office cuma terbit pada tahun 1971. Tapi Bukowski sudah menulis secara prolifik seawal 1960, berulang-alik di antara bar dan trek lumba kuda, dan sudah tentu, sambil mengusung mesin taip ke kedai pajak gadai untuk memastikan roh tidak bercerai dari badan.

Bukowski diberi ‘carte blanche’di suratkhabar Open City. Ruangan ‘Notes of a Dirty Oldman’ memberi Bukowski ruang untuk menulis, atau lebih tepat, merepek apa-apa yang terlintas di kepalanya. Ruangan ini kemudian dibukukan. Memuatkan tulisan yang berkisar dari kehidupan sehari-hari sebagai warga bar yang menolak untuk pergi ke medan perang, tentang pelacur sadistik yang ditala setiap hari semata-mata untuk merasa macam mana rasanya jadi perempuan yang ditala setiap hari, sehinggalah tentang isu politik. Beberapa puisinya turut dimuat The Outsider, majalah sastera terkenal pasca-perang.

Nama Bukowski mula kelihatan pada poster poetry reading yang tertampal di dinding-dinding bangunan. Selain dikelilingi ramai perempuan, Bukowski juga pada satu tahap mungkin sudah mampu membeli wain mahal menggunakan kad kredit sendiri – sesuatu yang dia tidak pernah bayangkan. Kepada pembaca dan kritikus yang menganggapnya sudah tidak mampu menulis seperti dulu, Bukowski tuliskan puisi tentangnya. Dengan attitude penulisan sama. Tepukan gemuruh atau balingan botol yang diterimanya ketika berada di pentas tak mampu sentuh attitude penulisannya. Ada kaitan dengan dia cuma naik pentas, duduk di sebelah peti sejuk yang disediakan penganjur, lalu habiskan semua bir di dalamnya. Populariti di luar persoalan. Sebagai penulis, dia perlu menulis, tetap menulis. dan seperti yang diselitkan dalam satu cerpennya: “Kau tak pilih untuk menulis, menulis yang pilih kau.”

Beribu sajak, ratusan cerpen, enam novel, beberapa karya posthumous lain, dan dia tak pernah terima apa-apa hadiah sastera, kalaupun ada, aku percaya dia akan minta hadiah sastera itu ditukar dengan sekolam bir dengan tugu air pancut perempuan bogel di tengah-tengah.

Filem adaptasi

Perjalanan hidup Bukowski diadaptasi dalam filem autobiografi Barfly (1987) dan Factotum (2005). Barfly mungkin lebih hampir kerana Bukowski terlibat secara langsung dengan pembikinan filem itu. Jika dia tidak berada di set penggambaran, pengarah filem, Barbet Schroeder akan menelefon untuk meminta kebenaran mengubah sekecil-kecil dialog agar tidak mengubah ‘semangat’ filem itu. Barfly merupakan salah satu cerpen autobiografikal tentang kehidupan Bukowski dan teman wanitanya, Jane.

Di dalam satu babak filem, turut diselitkan Bukowski sebenar sedang duduk di bar. Sebagai penghargaan, Bukowski menulis ‘Letters of Note: Barfly, I Love You’ ditujukan kepada krew filem termasuk para pelakon yang baginya cemerlang menghidupkan Barfly.“To add spirit to spirit can be dangerous but not in the hand of good actor,” Bukowski merujuk Mickey Rourke yang melakonkan watak Henry Chinaski.

Factotum yang merupakan novel kedua Bukowski difilemkan oleh Bent Hamer selepas kematian Bukowski. Matt Dillon yang melakonkan watak‘Chinaski’ susah untuk tidak dibayangi standard ‘Chinaski’ versi Mickey Rourke. Bagaimanapun, Bent Hamer bijak untuk menutup ini dengan menambah puisi-puisi Bukowski di dalam skrip. Di akhir filem, ketika Chinaski membaca puisi Roll the Dice, lenggok Bukowski-esque pada suara Matt Dillon dapat didengar.

Dokumentari Born Into This (2003) arahan John Dullaghan mungkin bahan paling hampir yang menggambarkan kehidupan sebenar Bukowski. Turut mengandungi footage dan interview ‘cult’ Bukowski – ada satu babak Bukowski menendang teman wanitanya, feminist harap bertenang, sila tengok dulu – dan beberapa individu lain termasuk Bono U2 dan Tom Waits.

Penulisan

Bukowski menulis kebanyakan karyanya dari bilik pengap yang udaranya berbau peluh berahi perempuan yang berbaur dengan remang aroma wiski. Bau ini dihidu pembaca pada baris tulisannya, membuat pembaca terjaga, dan ketika pembaca sedang ternganga sambil menggosok-gosok mata (dan mungkin juga celah kelangkang masing-masing), dia sumbat dos selebihnya yang membuat batang leher pembaca terasa sejuk, meraba-raba dada kerana merasa ada penumbuk yang baru saja hinggap.

Di sebalik wajah yang kelihatan seperti semangkuk bubur jagung, dengan di perut menempek tangki berupa bonjolan daging sebesar saiz cengkerang kura-kura, Bukowski adalah seorang filantropis dengan hati merah jambu yang disalut asbestos setebal 7 inchi. Dia tidak peduli mengatakan sesuatu yang kelihatan profetik, atau tentang penawar kepada penyakit kanser.

Dia lebih tertarik untuk membiar pembacanya masuk sendiri ke satu sudut kecil yang wujud dalam kehidupan seharian, vis-a-vis. Bukowski tidak cuma menulis. Lebih seperti bermain silap mata. Memetik Tom Waits, “He loads his head full of coal and diamonds shoot out of his finger tips.” Menyampaikan sesuatu yang ‘berat’ dengan nada yang ‘ringan’, ini kerja orang genius. .

Untuk semua yang dia pernah lalui, dari zaman kanak-kanak yang diwarnai bilur-bilur lebam libasan tali pinggang bapa pemabuk, dan jika mengambil kira ambiens zaman itu yang berada di bawah awan mendung Great Depression, dia ada semua sebab untuk menjadi sebosan dan se-morbid individu pesimistik lain. Sesuatu yang menarik untuk melihat seseorang sepertinya masih berdiri, mungkin sedikit terhuyung-hayang, tapi masih mahu mengatakan bahawa kehidupan adalah sesuatu yang berbaloi untuk dijalani. Optimisme yang aku percaya semua orang pernah ada – sebelum piano jatuh dari langit hempap kepala masing-masing.

Dengan nada macho temberang, Bukowski menuliskan:“this book is dediated to nobody,”. Dia tidak pernah peduli untuk menyelamatkan sesiapa – kalaupun ada orang yang perlu diselamatkan. Bukowski tidak peduli tentang American Dream. Baginya, semua hero telah mati. Kalau ada individu yang tinggal yang boleh dijadikan hero, ialah dirinya sendiri.

Dan memang betul, Bukowski tidak menujukan tulisannya kepada sesiapa. Kecuali dirinya sendiri, iaitu Mr Nobody, atau terjemahan hodohnya, Encik Bukan Sesiapa. Dan 99%, penghuni planet ini juga adalah Encik Bukan Sesiapa. Encik Bukan Sesiapa ada di mana-mana, mereka yang kewujudannya cuma untuk membiak meneruskan kelangsungan populasi. Mereka yang tak tahu apa yang perlu dibuat terhadap hidupnya. Mereka yang tidak dapat melihat fungsi mereka sebagai proses kehidupan. Mereka yang mempunyai emosi hebat tapi tak mampu buat-apa-apa tentangnya. Mereka yang bekerja tapi tidak percaya apa yang dikerjakannya. Mereka yang berehat tapi tidak pernah menemukan ketenangan. Mereka yang haus walaupun sedang berenang di aliran deras sungai. Mereka yang menjadi mangsa kepada pemikiran sendiri. Mereka yang tidak mampu percaya kepada apa-apa – sama ada kepada Godot, alien, mahu pun Godzilla. Encik Bukan Sesiapa yang bersepah di sana-sini tidak cuma membaca kisah tentang seorang pemabuk, tapi juga diri mereka sendiri. Tidak hairan jualan buku Bukowski mencecah jutaan naskhah, diterjemah dalam pelbagai bahasa, dan dicuri dari kedai-kedai buku terpakai.

Bukowski bagaimanapun tidak ingin ganti tempat Batman. Seperti mana-mana individu yang kau boleh jumpa di tepi jalan, Bukowski mempunyai watak kontradiks lain. Tanpa sedikit pun usaha untuk berpura-pura bahawa watak kontradiks ini tidak wujud, dia terjemahkan semuanya dalam penulisannya. Dia menulis protagonis ‘aku’ sebagai perogol, fidofail, penyumbangleweng, bahkan Hitler.

Tidak hairan jika dia dicop sebagai sexist oleh pendukung idea feminisme, chauvinist oleh mereka yang diketawakannya kerana menangis perihal kekasih hati yang pergi ke pelukan lengan orang lain. Dan kepada beberapa penulis berhati jambu lain, Bukowski adalah gedebe yang rampas tupperware sandwich mereka. Bukowski adalah reinkarnasi Horatio Alger dengan lightsaber Darth Vader.

Dan pada pagi ketika perempuan yang semalam berada dalam dakapannya pergi ke pelukan lengan orang lain, dia menangis lebih kuat daripada semua bayi yang wujud di muka bumi.

Mitos Baudelaire, Ethos Punk Poet

Selain seks, alkohol satu lagi tema yang diperalat Bukowski tanpa belas kasihan. Industri minuman keras hari ini terhutang budi kepadanya yang secara tidak langsung menjadi self-hired promoter, walaupun aku percaya semasa hayatnya tak seorang pun pemegang saham pernah belanja dia minum. “Mabuklah,” kata Bukowski mengajuk sajak “Be drunk” Baudelaire. Dan mereka membabibuta berlari mendapatkan beer Chang di Jalan Alor.

Walaupun dalam kes Bukowski ‘mabuk’ boleh diterjemah secara terus kepada alkohol, tapi seperti Baudelaire, aku percaya Bukowski juga tidak merujuk intoksikasi alkohol semata-mata, tapi apa-apa bentuk intoksikasi yang dapat memerah potensi maksimum yang ada pada setiap individu. “Be it women, wine, money, virtue, or whatever you will…”

Tidak pasti yang mana datang dulu. Seks dan alkohol kemudian punk. Atau punk kemudian seks dan alkohol. Atau semua ini cuma kebetulan yang disengajakan. Apapun, Henry Rollins, yang cuma menjadikan kopi sebagai sarapan paginya, menjadikan Bukowski sebagai kolam inspirasi. Bukowski sudah jadi seperti darah daging kepada ethos Punk Poet.

Walaupun penyair dari scene punk sendiri, Patti Smith lebih mengangkat Rimbaud sebagai idolanya, nama Bukowski lebih mesra-punk berbanding Rimbaud. Menariknya, Bukowski beberapa kali menyebut nama Rimbaud dalam tulisannya – dengan nada intimidasi, tentunya. Seperti kebanyakan anak-muda ketika itu, Bukowski susah untuk tidak melihat kebusukan establishmen. Walaupun tidak menyertai mana-mana perang, dia mendapati dirinya masih berada di zon perang, di kelilingi musuh-musuh halimunan yang lebih licik.

Tapi tidak seperti kebanyakan anak muda lain, dia tidak dapat melihat dirinya tergolong dalam mana-mana kumpulan. “Wherever the crowds goes, run in other direction,” katanya. Hubungan rapat dengan penulis Beatnik lain, termasuk Allen Ginsberg dan William Burrough, meletakkannya pada barisan Beat Generation, walaupun aku percaya dia tidak pernah menganggap dirinya sebahagian dari ‘clique’ penulis Amerika tahun 50-an ini.

Liga Bukowski

Dalam bahasa longgarnya, aku akan kata Bukowski berada dalam liga lain, kalau bukan dalam liganya sendiri. Sesuatu yang memualkan macam mana di sana-sini orang kaitkan bahawa Bukowski sebagai bacaan untuk ‘budak yang belum matang’. Pendapat yang selalu datang dari golongan tua, atau berlagak tua, yang cuba meyakinkan orang lain bahawa diri mereka lebih dulu makan garam. Agaknya ‘matang’ dalam definisi ini adalah sesuatu yang membosankan, kalau bukan romantisme yang suicidal.

Sudah tentu, Bukowski boleh disalahkan kerana menulis puisi dan prosa yang ‘buruk.’kerana dia memang tak pernah cuba buat benda lain. Epitaph‘Dont Try’ tertera di kuburnya. Ditujukan kepada penulis, penyajak, novelis, pelukis, saintis, artis, dan semua jenis spesies yang memenuhkan perpustakaan dengan buku-buku tebal yang mengandungi ribuan perkataan yang disusun tanpa beri apa-apa makna yang signifikan, kepada pembaca atau kepada penulisnya sendiri. ‘Dont Try’ adalah kredo untuk semua falsafah penulisannya.

“You don’t try. That’s very important: ‘not’ to try, either for Cadillacs, creation or immortality. You wait, and if nothing happens, you wait some more. It’s like a bug high on the wall. You wait for it to come to you. When it gets close enough you reach out, slap out and kill it. Or if you like its looks you make a pet out of it”

Ketika ini, aku baru selesai mengulang baca Absence of The Hero, karya posthumous Bukowski. Isteri aku sedang tidur di bilik. Atau di dalam selimut bergayut telefon dengan lelaki lain. Sambil duduk di ruang tamu menyejukkan badan, aku berbual dengan seorang kawan dan dia baru saja menyatakan pendapatnya tentang Bukowski. “Kalau kau baca Bukowski masa umur 20, itu normal. Tapi kalau macam usia kau sekarang, aku rasa kau dah hilang plot,” katanya. Dia sebaya dengan aku, Umur kami ketika ini 73. “Lagipun, aku tak ingat satupun puisi Bukowski yang betul-betul ada nilai estetika,” katanya lagi. “Nah, ni estetika kau,” aku kata menyumbat ashtray di mulutnya.

Bukowski, si tua ganyut yang lupa macam mana jadi orang tua, dia tidak ingin jadi immortal: “Writing is all about leaving behind as much a stink as possible.” Menyaksikan sendiri prejudis dikunyah mentah-mentah oleh orang di sekeliling, dengan semua yang sedang, pernah terjadi, aku tak rasa ‘estetika’ adalah perkataan paling sedap didengar. Tempat ni menyedihkan. Orang dah lupa cara untuk ketawa. Mereka meratap sejak tak ada apa-apa yang boleh diratap. Susah untuk tidak terjangkit. Tapi aku fikir, kalau sekali dalam sepuluh tahun seorang Bukowski lahir, itu lebih dari cukup.

Artikel karangan Wahyudi Yunus Dipetik dari jalantelawi.com

1 comments:

Unknown said...

Bende meme estetiği yaptırmak istiyorum. Türkiye'den Dr Əli Mezdeği haqqında bilgisi olan var mı?
meme estetiği

Post a Comment