Tuesday, 24 July 2012

Keputusan Mahkamah Bersih 2 : Menteri Dalam Negeri Wajar Memohon Maaf

Kenyataan Akhbar Untuk Hebahan Segera
AIC Malaysia

24 Julai 2012

Keputusan Mahkamah Bersih 2 : Menteri Dalam Negeri Wajar Memohon Maaf

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membatalkan pengisytiharan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada 1 Julai tahun lepas bahawa Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) adalah pertubuhan haram dan menyalahi undang-undang adalah satu tamparan hebat buat Kerajaan Barisan Nasional khasnya.

AIC Malaysia ingin mengulas keputusan Hakim Rohana Yusof ketika membacakan keputusannya  Bersih telah berjaya membuktikan kes dalam mencabar pengisytiharan kerajaan. Beliau juga memutuskan perisytiharan Menteri Dalam Negeri sebagai ‘tercemar’.

AIC Malaysia merasakan Hishammuddin seharusnya bersama-sama Kerajaan Malaysia memohon maaf atas kesilapan pengisytiharan itu, dan juga tindakan ganas serta tidak masuk akal terhadap pertubuhan, peserta dan rakyat yang menyokong Bersih 2.0 termasuk mereka yang menyertainya pada 9 Julai.

Umum mengetahui bagaimana Kementerian Dalam Negeri yang diketuai oleh Hishammuddin telah bertindak melabel Bersih 2 sebagai pengkhianat negara, merampas t-shirt Bersih 2.0 serta tindakan-tindakan di luar standard operasi biasa ,  sebelum dan semasa Perhimpunan Bersih 2.0


Justeru tidak ada alasan lebih konkrit serta ruang untuk berdolak-dalik atas ketidak upayaan Hishammuddin yang bukan sahaja gagal menangani tuntutan rakyat dengan baik, malah bertindak sebaliknya dengan mentakrifkan pertubuhan Bersih 2.0 sebagai haram serta melabel jutaan rakyat yang mendukung tuntutan itu dengan pelbagai istilah negatif

AIC Malaysia menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Hishammuddin serta Kerajaan Malaysia, serta percaya NGO serta jutaan rakyat lain juga menunggu mereka bersikap positif serta menerima keputusan Mahkamah Tinggi itu dan bertindak profesional.

Tidak perlulah menyemarakkan permusuhan dengan rakyat yang jelas telah lebih matang dan berani untuk menyatakan ketidak puasan hati mereka terhadap sebarang bentuk penindasan. Mungkin inilah juga peluang terbaik Kerajaan Barisan Nasional dan Hishammuddin untuk mengotakan slogan Janji Ditepati , dengan mengangkat aspirasi rakyat kembali kepada tempatnya.

Memetik kata-kata Bapa Kemerdekaan dalam Permasyuran Kemerdekaan

“Maka, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, saya Tunku Abdul Rahman Putra ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Perdana Menteri bagi Persekutuan Tanah Melayu, dengan persetujuan dan perkenan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja negeri-Negeri Melayu dengan ini memasyhurkan dan mengisytiharkan bagi pihak umat Persekutuan Tanah Melayu bahawa mulai Tiga Puluh Satu hari bulan Ogos Tahun Seribu Sembilan Ratus Lima Puluh Tujuh, maka Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi Negeri Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Perak, Melaka dan Pulau Pinang dengan limpah rahmat Allah subhanahu wa ta'ala akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa”

GENERASI PENGGERAK ZAMAN

SAIFUDDIN SHAFI MUHAMMAD
Presiden
AIC MALAYSIA






.


0 comments:

Post a Comment