Wednesday, 4 July 2012

Rencana : Hubungan Malaysia - Indonesia Dan Polemik Gelora Yang Berpanjangan, Anwar Ibrahim Sosok Pemimpin Yang Dinantikan


pastedGraphic.pdf
Rencana 
Anwar Ibrahim Club
4 Julai 2012
Rencana : Hubungan Malaysia - Indonesia Dan Polemik Gelora Yang Berpanjangan, Anwar Ibrahim Sosok Pemimpin Yang Dinantikan
Hubungan dua hala Malaysia -Indonesia sering dilanda pasang surut dalam sejarah penubuhan kedua-dua negara. Kegoyahan hubungan dua negara berjiran ini berlarutan atas isu-isu dua hala yang gagal diselesaikan walaupun bersilih ganti tampuk permerintahan. 
Rakyat telah bosan bermain dengan kontroversi yang melanda kedamaian dua negara serumpun  malah ianya tidaklah perlu diingati lagi. Bukan soal tarian, lagu atau pantun yang menjadi masalah pokok dalam perkara ini, tetapi yang lebih penting juga adalah sikap saling tidak menghormati antara satu sama lain yang wujud dalam fraksi pentadbiran masing-masing. Perkara-perkara kecil yang lain lain adalah sekadar pencetus kepada maraknya api kebencian.
Kelab Anwar Ibrahim (AIC) melihat kecenderungan ini sebagai sesuatu yang amat tidak sihat dan tidak efisien dalam menentu hala tuju kedua buah negara. Keghairahan untuk menonjolkan imej bangsa yang lebih baik bakal menjerumuskan kedua-dua negara dalam satu sengketa dingin yang merugikan rakyat kedua-dua belah pihak. 
Sudah tentu kita biasa melihat bagaimana sebahagian besar rakyat negara ini memandang rendah akan rakyat Indonesia yang mencari rezeki disini dan bersikap skeptikal terhadap imej dan pembawaan rakyat negara itu.
Manakala rakyat Indonesia pula khususnya yang tidak berhijrah ke sini memandang Malaysia sebagai sebuah negara egois, penuh muslihat dan tidak mesra kepada negara terbabit. Sikap tidak berdiplomasi pemimpin, kisah-kisah penganiayaan majikan serta tatacara urustadbir Tenaga Kerja Indonesia yang tidak bermutu, menjadi rentetan luka yang berpanjangan.
Justeru AIC memandang pengumuman Timbalan Perdana Menteri , Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam siri lawatannya ke Indonesia, untuk melantik jurucakap bagi menangani masalah dua hala Malaysia - Indonesia adalah sesuatu yang tidak sesuai, dan melangkaui tugasan Kedutaaan dan Kementerian Luar yang sudah termaktub dalam bidang kuasa dan tugasannya. 
Seharusnya Kementerian Luar dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia telah mempunyai pelan jangka pendek serta matlamat jelas tentang hubungan dua hala. Malaysia juga seharusnya mempunyai pegawai diplomatik di seluruh dunia yang memiliki kemahiran pengetahuan pelbagai sehingga mampu adaptasi hubungan dalam semua bidang. 
Maka atas keyakinan itu tidak perlu wujud idea untuk melantik jurucakap sekiranya semua sumber daya yang negara ini punyai, menjalankan tugas dengan efisien dan bertanggungjawab. 
Seharusnya dalam peluang persamaan bahasa dan budaya, penyelesaian masalah ini telah harus lama digariskan. Wujud kesangsian apakah perkara ini dibiarkan berlarutan semata-mata sebagai propaganda politik untuk menjadi api sentimen rakyat yang akhirnya akan mencipta keuntungan tunggal kepada pemerintah. 
Menjadi persoalan, adakah kedua-dua negara sedang menunggu sosok pemimpin yang cerah pemikiran untuk menjadi penggerak kepada reformasi hubungan dua hala ini?  Malaysia, tentunya melalui Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai tokoh negara yang diterima baik imejnya sebagai seseorang yang mempunyai kredibiliti dan ketrampilan untuk membawa hubungan dua hala ini ke peringkat baru.
AIC yakin imej dan persona Dato Seri Anwar Ibrahim itu sendiri diterima baik di mata umum rakyat Indonesia  malah muncul lebih kerap di media negara republik itu berbanding sebahagian besar pimpinan utama negara. Beliau juga mempunyai kenalan rapat yang lebih ramai baik dari tingkat politik, cendekiawan malah tokoh-tokoh kemanusiaan di negara republik itu. Maka tidak hairanlah beliau sering dilabel dengan pelbagai tuduhan anti Malaysia, semata-mata mahu menjatuhkan popularitinya di negara Indonesia. Tetapi hakikatnya, kepimpinan Dato Seri Anwar Ibrahim ditunggu-tunggu sebagai pemimpin yang akan mengembalikan kewibawaan Malaysia di mata antarabangsa, atau setidak-tidaknya di rantau Nusantara ini.
Generasi Penggerak Zaman
SAIFUDDIN SHAFI MUHAMMAD
Presiden
Anwar Ibrahim Club
Malaysia

0 comments:

Post a Comment