Thursday, 30 August 2012

Anwar: Hudud dan Politik terdesak Umno

KENYATAAN MEDIA DATUK SERI ANWAR IBRAHIM

Usaha terbaru untuk menyemai kesangsian kaum dan agama yang terbukti dilakukan media kawalan Umno secara berterusan dengan memainkan isu hudud dan negara Islam sekali lagi menggambarkan sikap politik melulu.

Cubaan keji secara ugutan dan menghasut persengketaan agama dan etnik ini merupakan cubaan terdesak untuk mengalih perhatian rakyat dari isu-isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Tidak kira bagaimana isu yang diputar oleh media Umno, kita dalam Pakatan Rakyat kekal komited kepada prinsip asas yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan; kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan disamping menjamin kebebasan agama-agama lain diamalkan dengan aman dan harmoni; Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dengan kebebasan untuk menggunakan bahasa ibunda pelbagai kaum, kedaulatan raja-raja Melayu bersama-sama dengan kedudukan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera dan hak-hak kaum lain seperti yang dilindungi oleh Perlembagaan.

Dasar PR dan Buku Jingga kekal sebagai kenyataan yang jelas tentang dasar dan prinsip-prinsip tadbir urus kami. Mari kita kekal tumpu kepada agenda untuk perubahan. Kita perlu meningkatkan daya saing, pendapatan rakyat, mutu pendidikan, kesihatan dan memeriksa peningkatan kos hidup yang membebankan rakyat.

Dalam hal Syariah, hudud, dan negeri islam, kami mengakui dan menghormati pandangan yang berbeza dan kedudukan parti-parti komponen dalam PR. Ini adalah mencerminkan politik konsensus. Sebagai seorang Muslim, saya tetap berpegang teguh kepada al-Quran dan Sunnah yang merupakan sumber prinsip shariah.

Saya percaya bahawa maqasid al syariah (objektif lebih tinggi Syariah) adalah prinsip penting urus tadbir dan tidak berlawanan dengan ajaran demokrasi.

Dalam hal ini, PR akan terus dipandu oleh prinsip-prinsip keadilan sejagat, urus tadbir yang baik, akauntabiliti, ketelusan dan daya saing untuk mencapai kebaikan untuk rakyat.

Janganlah kita terpengaruh dengan politik terdesak dan ugutan UMNO BN. Letakkan kepercayaan kita dalam kematangan dan kebijaksanaan rakyat untuk menilai keadaan ini dan membuat pilihan bebas mereka.

ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang

0 comments:

Post a Comment