Thursday, 9 August 2012

Bersihkan diri, bersihkan Malaysia - Second Combat

Bagi kita yang tidak sedar dengan fenomena muzik alternatif yang kadang kala dirujuk dengan istilah underground, mungkin terkejut dengan persembahan live sesetengah kumpulan yang amat agresif. Bagi yang sudah biasa pula, nama Second Combat mungkin tidak asing lagi. Apakah istimewanya kumpulan yang mengasaskan muzik dan lirik mereka dengan aliran straight edge ini? Wartawan Roketkini Izmil Amri mencari jawapannya bersama penyanyi utama bersuara nyaring Khairuddin Aziz (Ein) dan Azwari Zainal (Arwith) yang mengukuhkan tulang belakang band dengan petikan gitar bass.
Kenapa ‘Second Combat’? Apa benda Second Combat ini?

Second Combat tu nama yang ada maksud tersendiri. Maksudnya dia berkenaan dengan satu lagi perjuangan, atau lagi satu, apa tu, peluang kedua. Tapi sebelum tu nama band ni lain.

 Masa tu kami mula sebagai sebuah band pada tahun 1995 ke 1996 tu masih nama punk, The Pistons. Lepas tu daripada 1996 ke 2000 nama tu dah tukar ke Second Combat. Masa tu scene dekat Klang tu scene yang agak besar, lepas tu semua orang berpecah ikut haluan masing-masing. 

Kemudian, tak ada scene langsung. Dan kemudian kami sebagai sebuah band, kami buat balik scene itu, tarik budak-budak untuk ikut serta dan terciptalah nama itu, Second Combat, peluang kedua, another fight. Kita nak tunjuk kepada scene-scene lain yang masih ada scene di Klang.


Kenapa buat band?
Kami mendapat inspirasi daripada band-band lain. Kebanyakannya band punk rock antarabangsa, masa tu ada Pennywise, The Ramones, The Vandals, NOFX, band-band punk masa tu. Lepas tu pengaruh tu datang, evolusi tu bertukar-tukar jadi kami pun tukar kepada hardcore, masukkan sedikit metal. Dan sehingga tahun 2000 tu kita dah betul-betul pasti yang kami ini band hardcore. Sebab tahun 96 itu kami dah macam, mana nak pergi ni, hardcore ke, crusty ke, nak jadi apa ni; tak tahu.


Jadi anda tak ada krisis identiti lah, itu lah dia?

Tak ada. Waktu tu memang pastilah kami memang band hardcore. Menjelang tahun 2000 tu kami sudah banyak dengar band-band hardcore, malah lewat 90an juga kami sudah dipengaruhi hardcore. Band yang mempengaruhi kami masa tu macam Chain of Strength, Warzone dan band-band dari US. Jadi tahun 2000 tu kami nak jadi band straight edge. Antara 96 ke 2000 itulah era perubahan kami. Kami mula dengar band-band daripada Commitment Records, dari Belanda.

 
Untuk orang-orang tak pandai macam aku ni, benda apa ‘hardcore’ dan ‘straight edge’ ni?
Hardcore tu dia evolusi daripada punk. Muzik dia keras sikit. Kalau dengar di radio, band yang macam Bunkface tu punk juga sebenarnya, tapi sekarang ni dah macam-macam punk ada. Jadi hardcore tu satu mazhab punk yang lebih keras dan straightforward. Dan lirik dia lebih penuh makna. (Straight edge adalah gaya hidup menolak arak, dadah, rokok dan seks bebas serta kebanyakannya memilih menjadi vegetarian/vegan – tidak makan daging/produk susu – Ed.)


Walau pun lirik dia kau perlu jeritkan dan orang tak faham?
Ya, memang hardcore ni ekspresi dia agak marah. Semacam ada kekecewaan dengan dunia jadi sebab itu dia nyanyi dalam keadaan marah.

Jadi anda pilih hardcore ni sebab marah dengan dunia? Apa akar kemarahan sekarang ni?
Perkara utama sekarang ini ialah dadah. Itu isu utama. Yang lain-lain termasuk pencemaran alam, ketamakan manusia dan banyak benda lagi. Kita nyanyi tentang isu-isu seperti pemerdagangan manusia, penderaan kanak-kanak, sistem pendidikan kita, buruh kanak-kanak, hak orang asli, globalisasi, kapitalisme. Banyak isu. Isu yang yang band-band tak ketengahkan.


Kenapa pilih untuk ketengahkan isu-isu yang orang lain tak ketengahkan?
Mungkin sebab kami dapat inspirasi oleh band-band yang politikal. Sebab bagi kami, bila join hardcore tu, dan straightedge, kau mesti politikal. Kena berfikir secara kritikal untuk masa depan dunia.


Anda rasa kritik-kritik ini didengari atau tidak oleh anak muda sekarang ni?
Untuk sesetengah, mungkin ada yang faham lah. Kalau macam dunia politik ni mungkin orang tak tahu lah. Sebab kami dalam scene hardcore ni ada sisi politik dia. Jadi kami lebih terinspirasi dengan band-band yang berpolitik.


Ada tidak band lain yang berpolitik?
Ada juga, macam Carburetor Dung tu politik juga. Banyak band crusty lah, atau grind core. Tapi kadang-kadang nyanyian saja politikal, walau pun penyanyinya tidaklah politikal sangat. Mereka tak praktikkan apa yang mereka nyanyi.


Jadi anda buat apa yang anda nyanyikan?
Ya. Dulu kami ada juga kaki stone, tapi kemudian kami rasa macam, takkan kita nak jadi band yang macam ni. Dan persekitaran kami, dengan isu keluarga, persahabatan, semuanya itu bersimpul pada masalah dadah. Itu yang menghancurkan team kita. Itu sebabnya kenapa kami mahu jadi straight edge band. Kita dah tengok isu-isu jadi kita tak nak ada isu-isu itu; alkohol, merokok, di dalam band.


Jadi dengar kata band ini dialu-alukan ke sekolah?
Macam saya, saya buat ceramah ke sekolah-sekolah la. Atas inisiatif sendiri. Apa yang saya buat ialah, saya ceritakan pengalaman saya, apa yang terjadi kepada saya, keluarga, kawan-kawan saya dan bagaimana saya menguruskan band ini sehingga ke peringkat antarabangsa. Dan kita bercakap tentang masalah dadah, penyalahgunaan dadah dan isu-isu lain juga. Sebab budak-budak umur 12 ke 13 tahun ni adalah berisiko untuk mencuba dadah. Jadi sebelum dadah sampai kepada mereka, kami sampai dahulu dan berikan kesedaran. Itulah, punca atau salah satu sebab kenapa budak ambil dadah ialah kerana mereka tidak idola atau ikon yang boleh dijadikan inspirasi, tak dapat ditiru atau dijadikan ikutan.

Itu silapnya saya pada masa dulu. Saya tak ada idola, saya tak ada inspirasi. Saya ambil inspirasi daripada band yang salah, dan idola yang salah. Jadi saya fikir, kebanyakan budak, mungkin 70% mungkin akan ikut apa yang saya lakukan dulu. Jadi sebab itu saya turun pergi ke sekolah-sekolah atas inisiatif sendiri dan bercakap tentang pengalaman saya.

Jadi anda rasa dadah masih isu besar, meski dilawan habis-habisan tahun 90an dulu?

Ya masih isu besar sampai sekarang, kerana ia berkait dengan banyak benda. korupsi, manipulasi, ekonomi, jenayah.

Anda sebut korupsi dulu. Jadi apa pendapat anda tentang korupsi ni?
Korupsi memang boleh memusnahkan masyarakat dan negara, sekali gus ia menutup peluang untuk orang lain. Ia tidak beretika, untuk mengambil suapan daripada sesiapa pun. Korupsi memang sudah memusnahkan banyak masyarakat, macam satu virus. Dan sebagai contohnya dalam dunia dadah ini, kastam dan polis sebagai contoh amat terdedah kepada korupsi, dengan hasil rampasan dadah, rampasan itu juga boleh dijual semula kepada pembekal dan pengguna. Malah bukan tidak ada anggota polis yang ketagih dadah.

Jadi muzik anda ini menghentam habis-habisan segala yang korup dan merosakkan ini? Kesannya bagaimana setakat 16 tahun ini?
Awal-awal dulu, kami sekadar punk yang tidak ada arah. Sekarang kami lebih terarah dan berfikiran waras. Jadi kalau kita nak mengubah sistem kita harus ubah diri kita dulu.

Cakap tentang perubahan, apa peranan anda untuk memudahkan perubahan itu berlangsung? Perlukah kita kepada perubahan sekarang ni dan apa peranan orang muzik untuk membantu perubahan?

Sebenarnya kita tak adalah nak ubah semua orang, kita mula dari komuniti kita saja dulu. Jadi apa yang kita boleh ubah, kita ubah kita punya scene. Jadi tak bermakna kita boleh mengubah seluruh dunia. Kecuali kalau kita masuk sikit-sikit ke saluran mereka, macam masuk TV, masuk radio dan bercakap tentang mengubah diri. Mungkin dari situ hanya 10% akan dengar dan mungkin hanya 2% akan ubah cara hidup mereka. Setakat ni ramai juga orang yang datang balik kepada kami dan ucap terima kasih kerana membantu mereka mengubah cara hidup, daripada menjadi perokok dan salah guna dadah kepada kehidupan yang lebih baik. Kalau nak dikur kejayaan, dalam scene hardcore punk ini agak berjayalah juga. Kita belum lagi mampu untuk menggapai kepada komuniti luar.

Sekarang, siapa yang meminati Second Combat?
Budak-budak sekolah, budak-budak kolej yang suka muzik yang keras. Yang anti muzik-muzik mainstream, yang lembut-lembut, yang tak dengar Justin Beiber.

Adakah ikutan itu sebab mesej yang disampaikan atau kerana bunyi bising itu sendiri yang mereka suka?
Mula-mula muzik lah. Lepas tu lama-lama mereka mula perhatikan lirik dan boleh faham mesej. Sebab kalau nak banding scene kami dengan scene mainstream, pastilah jauh beza. Yang datang show kami selalunya hafal lagu kami dan betul-betul bersemangat tentang apa yang kami nyanyikan. Banding dengan scene mainstream, tak ada apa-apa yang mereka dapat.

Kami lepas show, ada lepak-lepak, borak-borak. Dan budak-budak ni kalau dekat show, nampak macam ganas. Buat stage dive, mosh apa semua, jadi orang ingat budak-budak ni gila. Padahal mereka ini tak begitu sebenarnya.

Dalam kehidupan sebenar, mereka ini ada kerja yang bagus. Engineer ada, peguam ada, doktor pun ada. Tapi disebabkan mereka suka dengar lagu yang keras, masyarakat pandang serong kepada mereka ini. Masyarakat sangka mereka ini teruk kerana dengar muzik setan.

Ya, kenapa ada persepsi yang begitu? Macam contohnya mak saya sendiri, kalau dia dengar muzik ni dia akan kata ini muzik setan.

Memanglah sebab benda kita tak tahu. Masa dulu orang kecoh punk rambut pacak pun orang dah sebut ‘ini jahat ni, ni semua makan sampah ni’. Lama-lama, Edry KRU tu pun buat rambut punk, semua orang dah biasa. Semua orang dah boleh terima punk. Macam tu lah. Patutnya kami ini diketengahkan lagi, supaya orang terbiasa dan rasa nak terima. Jadi akan ambil masa lah untuk terima keadaan tu.

Sebut tentang penerimaan, anda dikenali di peringkat antarabangsa. Siap ada vinyl (piring hitam). Jadi macam mana boleh sampai ke tahap tu?

Tahun 2007 kami jelajah Eropah, kami lihat di sana mereka masih dengar vinyl lagi. Jadi waktu jual CD dan vinyl, yang vinyl habis dulu. CD macam tak laku di Eropah. Jadi lebih baik buat vinyl supaya mudah jual di Eropah. Lagi pun contact pun dah banyak, label pun dah ada. Kalau tanya berapa besar kami di Eropah, ha ha, ha boleh tahan la. Orang kenal la. Kalau sebut Malaysia saja orang kenal Second Combat. Lagi pun scene hardcore di sana pun boleh tahan besar.

Jadi apa beza paling ketara, budaya anak muda di Malaysia berbanding di Eropah, tentang akar-akar kemarahan ni, kenapa di sana lebih ada kerisauan berbanding di sini?
Di sini mungkin minatnya lebih kepada muzik semata-mata. Di sana, perlawanannya lebih nyata. Di sana kalau ada demonstrasi, mereka turun beramai-ramai. Contohnya, mereka bukan sahaja peduli terhadap hak asasi manusia, malah hak haiwan. Maka majoriti budak-budak punk hardcore semuanya pemakan sayur (vegetarian/vegan), mereka betul-betul peduli tentang haiwan. Tidak begitu di sini. Kebanyakan punk di Malaysia pun makan KFC dan McDonalds.

Jadi anda orang vegetarian?
Ya.

Sejak bila?
Sudah enam tahun. Kami memang ambil serius apa yang kami sebut dan perjuangkan dalam scene hardcore punk ini. Walau pun tak ada lah kami tinggalkan budaya kita sendiri. Pada masa yang sama kami mengadaptasi kepada idea-idea baru, dan mencuba benda-benda baru dalam hidup. Kerana ini semua tentang pembaharuan.

Tentang budaya sendiri dan pembaharuan, kenapa tidak memilih untuk menyayi lagu Melayu atau irama asli?
Susah sebenarnya nak jawab tu. Sebenarnya siapa-siapa pun boleh main punk rock, sebab kodnya mudah dan tak banyak bunga-bunga. Album baru kami pun sudah sedikit mesra radio, jadi boleh didengar oleh orang biasa. Tapi lirik dia memang kami tekankan isu-isu pendidikan politik, pendidikan percuma.

Contohnya kalau seseorang itu miskin, sepatutnya dia berhak mendapat pendidikan yang dibiaya kerajaan. Baguslah kalau dapat buat pendidikan percuma di negara ni. Sebab kalau fikirkan tentang Turki yang tak ada sumber minyak pun boleh berikan pendidikan percuma, jadi di sini tak mustahil untuk dilakukan. Jadi kerajaan Malaysia yang sekarang ni memang tak ‘perform’. Kerja songlap saja.

Eh, ni ‘on record’ ni…
‘On record’pun tak apa. Sebab korupsi ni dah terlampau banyak terjadi. Memang kena UBAH! Dan kami sebagai orang seni memang ‘go all out’ untuk ubah benda ni. Jadi seni kami ini untuk rakyat lah, bukan untuk diri sendiri. – Roketkini.com

0 comments:

Post a Comment