Thursday, 30 August 2012

Perutusan Hari Kemerdekaan, Kita ini Sebangsa, Senegara, Sejiwa.


Wajar, atas dasar insaf yang terbit dalam sanubari manusia tertindas, maka dibangunkan Demokrasi. Demokrasi kemudian wujud dan tumbuh kerana manusia sudah tidak yakin dengan sistem dan menuntut persamaan hak dan keadilan. 

Demokrasi tidak lahir kerana apa yang difahami oleh pemerintah, tetapi kerana manusia bawahan yang berimpian bahawa idea kebebasan dan melepaskan diri dari penindasan adalah sesuatu yang patut diangkat standardnya menjadi sebuah cita-cita dan intipati kehidupan itu sendiri. 

Sudah pasti setiap yang baru tumbuh, pasti akan merangkak mencari identitinya. Begitu juga sang Demokrasi, yang tumbuh dan berkembang perlahan-lahan tetapi dengan bertenaga pula mula menemui hakikat kewujudannya walau melalui liku-liku persoalan yang mendera ideologi. 

Maka atas kewujudan Demokrasi juga menjadikan Pemerintah tidak mempunyai ruang untuk melaksanakan undang- undang sendiri  dan mereka terpenjara dalam cita-cita yang akhirnya membesar menjadi ideologi perjuangan.

Memaknai Demokrasi adalah satu kitaran yang begitu kompleks kerana ideologi ini tidak juga boleh dipaksakan oleh satu kelompok ke satu kelompok yang lain, tetapi ianya harus teguh berdiri sendiri atas keutuhannya sebagai sebuah makna yang harus diresapi oleh kesedaran. 

Terbit pula cara berfikir dimana kekuasaan tunggal dalam pemerintahan, iaitu sesuatu yang tidak boleh ditegur dan diberi cakna fikiran adalah duplikasi atau balikan dari keesaan Tuhan seperti dalam konsep kehidupan manusia, adalah cara berfikir yang penuh kejumudan dan memerlukan pencerahan dalam kehidupan autoritariannya.

Kehendak kita bukan mengagungkan demokrasi, dan menolak penyertaan alat perjuangan selain demokrasi. Tetapi ianya adalah apabila perjuangan dibangun dengan totalitarian tanpa penghormatan atas kemerdekaan pendapat dan kebebasan melahirkan idea dan tentangan atas salahlaku moral pemerintah. Maka nah, isyarat kejatuhan pemerintah telah bermula

Sebuah rejim yang dibangun atas penghormatan terhadap individu dan bukan kerja kolektif dan suara bersama adalah sebuah kebodohan lama dalam format baru. Ia akan tenggelam setelah pemerintah jatuh.

Kehidupan yang terbatas adalah jawapan bahawa jalan keluar itu tidak bergantung pada peribadi pemerintah tetapi dengan idea dan gagasan yang tidak terbatas oleh dimensi waktu.

Sebuah rejim pemerintah yang bertumpu pada penghormatan individu adalah fatamorgana yang dibuat dengan penuh kesedaran dan licik, ia adalah perselingkuhan antara kebodohan dan harapan.

Tidak pernah rejim samada secara  individu, keluarga dan  kelompok dapat bertahan. Ia hanya bertahan sebentar, menindas, ditumbangkan dan kemudian hilang ditelan zaman.

Kelak rejim pemerintah yang dibangun dengan sistem autaoritarian akan dijatuhkan dengan cara yang tragis dan diingati oleh semua yang menyertainya, dan disertainya.

Akhirnya RAKYAT akan berada di jalan melakukan pembalasan terhadap pemerintah yang totalitarian. Sejarah dunia selalu berulang, siapa yg menanam dia akan menuai hasilnya. Selamat datang pemerintah rejim , kami sudah bersedia melawan!


Merdeka lah rakyat, kita ini Sebangsa, Senegara, Sejiwa. Selamat hari kemerdekaan ke 55.



GENERASI PENGGERAK ZAMAN


SAIFUDDIN SHAFI MUHAMMAD

Presiden
AIC MALAYSIA

0 comments:

Post a Comment