Wednesday, 10 October 2012

UCAPAN ALU-ALUAN PRESIDEN KELAB ANWAR IBRAHIM PELUNCURAN BUKU PENDEDAHAN DI PARLIMEN


Assalamualaikum wbth & Salam Sejahtera

Bersyukur ke hadrat Ilahi, dengan limpah kurnia dan rahmatnya dapat kita bertemu dalam satu majlis yang amat penting ini. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan yang tidak ternilai, atas kehadiran tuan -tuan & puan- puan , dan menjadi kebanggaan saya melihat ramai anak muda yang hadir pada malam ini untuk turut sama menyambut pembudayaan ilmu  dan usaha percambahan minda.

AIC sangat berbesar hati atas kesempatan ini, untuk menjadi penganjur Perluncuran Buku Pendedahan di Parlimen, tentu sahaja ucapan terima kasih  ditujukan kepada Yayasan Selangor selaku tuan rumah, ucapan penghargaan untuk Tuan Ilham Marzuki , Pengurus Besar dan seluruh kakitangan yang turut serta menjayakannya. Sekalung tahniah untuk KPRU selaku penyusun makalah yang diwakiliPengarah Eksekutif  Saudara Ooi Heng, dan juga pihak SRID oleh Pak Chong yang menerbitkannya.  Tidak lupa juga penganjur bersama iaitu Akademi Pak Sako yang diwakili Dr Afif Bahardin serta Alumni Sekolah Politik IKD yang diwakili oleh Sdr Irwan Hidayat. 

Tidak banyak yang ingin kami perkatakan, di bawah label #AICLibrary, ini adalah diskusi terbuka keempat berkenaan buku dan penulisan yang dijalankan, selepas Buku Islam dan Melayu karya Dr Siddiq Fadhil ,buku Kebangkitan Rakyat karya Sheikh Yusof Qardawi serta Tinderbox Past and Future of Pakistan karya M.J Akbar,  kerjasama dengan Pejabat Dato Seri Anwar Ibrahim dimana menjadi usaha kecil AIC untuk membuka ruang perbincangan dan intelek di kalangan anak-anak muda khususnya.
Buku ini amat istimewa, kerana kata pengantarnya ditulis sendiri oleh Dato Seri Anwar Ibrahim, yang menunjukkan betapa bersungguh-sungguh, Pakatan Rakyat melalui KPRU mengupas isu-isu di Parlimen dengan lebih mudah dan menarik bagi tatapan dan bacaan orang ramai dan seterusnya memahami segala isu yang mungkin terpinggir dari pengetahuan umum.

Buku ini juga menjadi kayu ukur dan rujukan tentang tawaran Pakatan Rakyat, serta relatif Belanjawan Pakatan pada kadar ekonomi semasa. Tuan Puan akan melihat pada halaman 185 buku ini ada menyebut tentang kajian Fiscal Policy Institute yang menunjukkan kesan positif perlaksanaan gaji minimum pada kadar munasabah, sekaligus mempersoalkan kembali kebimbangan Barisan Nasional yang menuduh tawaran ini memberi kesan buruk pada ekonomi.

Dalam buku ini juga pembaca dapat menilai, prestasi dan sifat bajet Barisan Nasional sepanjang pentadbiran Perdana Menteri Dato Seri Najib Razak, dimana hutang kerajaan persekutuan sepanjang pentadbiran Najib melambung tinggi dengan angka kontra dimana situasi bertentangan sewaktu Dato Seri Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Saya cuma ingin menyentuh sedikit, saya tinggalkan keghairahan membaca itu kepada semua , untuk memiliki dan akhirnya menilai sendiri tentang prestasi pentadbiran negara yang pasti menjadi perimeter penting dalam memilih peneraju baru di Putrajaya nanti. Saya akhirnya bagi pihak Anwar Ibrahim Club (AIC)  ingin sekali mengucapkan ribuan terima kasih atas kepercayaan ini, dan saya serahkan pentas kembali kepada pengerusi majlis.

 

 

 

0 comments:

Post a Comment