Wednesday, 7 November 2012

Cabar Anwar Bertanding Di Pekan, Bukti Umno Bankrap Isu

Kenyataan Akhbar Untuk Edaran Segera
Kelab Anwar Ibrahim
07 November 2012
Kenyataan Media AIC: Cabar Anwar Bertanding Di Pekan, Bukti Umno Bankrap Isu
Kelab Anwar Ibrahim (AIC) memandang sinis cabaran yang dilontarkan oleh seorang pimpinan Umno Bahagian yang mencadangkan agar Dato Seri Anwar Ibrahim bertanding di Parlimen Pekan sebagai satu pelawaan yang melucukan serta bankrap isu. Cabaran yang tidak realistik itu dilihat sebagai tidak memahami politik sebenar, semberono dan tidak berfikiran jauh.
AIC melihat kenyataan dan cabaran oleh Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee sebagai jauh dari kematangan berpolitik dan wajarlah dipandang sepi. Malah Syed Ali juga menuduh Dato Seri Anwar Ibrahim berniat membunuh karier politik Dato Seri Abdul Hadi Awang, dengan mencabar Najib Razak bertanding di Marang. Sedangkan , secara simboliknya jika benar sekalipun cabaran itu adalah untuk menunjukkan betapa Datuk Seri Najib harus membuktikan kepimpinan beliau diterima di seluruh negara dengan kesediaan bertanding di mana-mana kerusi pun.
AIC percaya sebagai seorang Perdana Menteri, seharusnya Najib Razak-lah yang berani untuk bertanding di mana-mana kerusi Parlimen pun sebagai bukti segala dasar dan "tranformasi" yang beliau canangkan tidak kosong dan diterima ramai. Najib mempunyai ruang yang cukup besar untuk berkempen di televisyen dan akhbar perdana, serta mudah pula untuk mengakses segala kemudahan kerajaan seperti bantuan agensi kerajaan tapi belum cukup berani untuk keluar dari zon selesa di Pekan.
AIC juga kesal dengan kenyataan Syed Ali , seperti yang dipetik dari laman portal Malaysiakini yang menyebut ""Saya yakin pengundi di Pekan dan Marang, sebahagian besarnya pengundi Melayu, belum bersedia menerima pemimpin politik seperti Anwar yang menyokong gerakan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT)," sebagai tidak langsung menghina pengundi-pengundi di Permatang Pauh sebagai tidak tahu memilih wakil mereka di parlimen.
Seharusnya Syed Ali sebagai pemimpin kecil dalam Umno berasa malu atas keengganan Datuk Seri Najib Razak berdebat dalam isu-isu kenegaraan yang melibatkan kepentingan rakyat secara keseluruhan. Najib Razak juga gagal hadir ketika perbahasan Bajet 2013 di Parlimen, sebagai satu contoh bahawa Perdana Menteri itu lemah, tidak fokus dan tidak mempunyai keupayaan memimpin disaat ekonomi tidak stabil dan hutang negara mencecah ratusan billion Ringgit.
Keseronokkan pimpinan Umno seperti Syed Ali melontarkan cabaran-cabaran populis adalah cerminan bahawa Umno tidak pernah serius dalam membela nasib dan masa depan rakyat. Cabaran yang dilontarkan adalah bertujuan mengalih pandangan umum terhadap skandal-skandal penyelewengan yang didedahkan oleh Pakatan Rakyat , termasuk faktor tambah sambutan hebat yang diterima oleh Dato Seri Anwar Ibrahim dalam siri Jelajah Merdeka Rakyat ke seluruh negara dan kesediaan rakyat mengangkat Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat itu sebagai Perdana Menteri yang baru.
Umno telah bankrap isu untuk dimainkan, dan mereka beranggapan masyarakat kini terlalu bodoh untuk mengukur keupayaan mereka. AIC berasa terpanggil untuk mengulas cabaran ini kerana kami yakin, terlalu banyak isu-isu dasar yang diabaikan oleh pemerintah sekarang dan terus menjerumuskan Malaysia ke arah kehancuran. Justeru AIC melihat cabaran bodoh seperti ini akan berterusan dengan harapan sekerat dua rakyat akan termakan dengan umpan mereka, namun AIC optimis rakyat terutamanya golongan muda begitu teruja untuk menghumban parti antik seperti Umno dan pimpinannya ini ke tepi demi membina kembali negara yang lebih bermaruah dan mengangkat darjat rakyat.
GENERASI PENGGERAK ZAMAN
Saifuddin Shafi Muhammad
PRESIDEN
@AICMalaysia


0 comments:

Post a Comment