Tuesday, 13 November 2012

Deepavali Nal Valthukal : Segera Keluar Dari Kesengsaraan


Fajar yang menyinsing pagi ini menandakan perayaan Deepavali telah pun bermula dan disambut dengan meriah oleh penganut agama Hindu di seluruh dunia. Deepavali membawa seribu erti kemenangan, perayaan tentang kebenaran menentang kejahatan. 

Dalam konteks sedemikian di mana-mana sudut dunia sekalipun manusia sering tertindas oleh omongan kezaliman dan sering pula tercari-cari arah untuk segera keluar dari kesengsaraan. Kecenderungan segelintir manusia untuk berbuat zalim terhadap manusia yang lain akan sentiasa menjadi satu inspirasi untuk mereka yang dizalimi bertindak nekad untuk mengatasinya.

Keazaman dan semangat itulah yang menjadikan setiap perayaan Deepavali begitu memberi makna, terutama di Malaysia. Sebagai kaum ketiga terbesar di tanah air tercinta ini, banyak lagi kesengsaraan yang masih dilalui oleh masyarakat India dan tidak keterlaluan dikatakan proses membebaskan diri ini sedang berlangsung dengan begitu perlahan.

Semuanya kerana kezaliman sang pemerintah yang tidak segan-segan mengenetepikan hak masyarakat India sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan sebagai bangsa Malaysia. Lupakan soal politik dan kepartian, dan perjuangan menuntut kesaksamaan tidak pernah tidak, perlu melewati batas ini.

Kebenaran dan cahaya kemenangan wajar terus dinikmati oleh semua tanpa mengira latar belakang. Masyarakat India seharusnya hari ini telah berdiri sama tinggi dengan bangsa Malaysia yang lain, tidak seperti masih mencari-cari naungan dan identiti dalam negara yang tidak mengamalkan kestabilan dan kesaksamaan ini.

Krisis pendidikan , kesihatan , kemiskinan dan yang paling teruk hak kewarganegaraan menjadi intipati tentang kenapa masyarakat India harus kembali bangkit menentang kezaliman. Secara terang-terang hak mereka diperkosa demi kepentingan elitis India sendiri khasnya dan kebobrokkan pemerintah amnya.

Perjuangan ini harus terus , kerana apa yang penting bukanlah apa yang akan kita capai hari ini, tetapi kelangsungan yang kita bekalkan untuk generasi akan datang. Tanggungjawab kita untuk menyediakan asas kehidupan yang baik untuk waris-waris kita tidak harus menjadi picisan.

Masyarakat India harus menoleh kegemilangan silam mereka menumbangkan kezaliman sehingga mencetuskan semangat Deepavali yang disambut hari ini, dan menjadikannya sebagai tangkal azimat untuk segera menuntut kehidupan yang lebih baik. Kebergantungan kepada pemerintah zalim bukan lagi jawapan kepada segala permasalahan yang melanda nilai sosial masyarakat India, maka wajar tali berpaut itu dileraikan agar mereka dapat terbang tinggi. 

Kelab Anwar Ibrahim (AIC) mengucapkan selamat menyambut perayaan Deepavali kepada seluruh masyarakat India di Malaysia, semoga cahaya kemenangan dan kebenaran ini terus menyala dan tidak pernah terpadam, semoga ia menyemarakkan nilai-nilai kemanusian dan tidak hilang dek dipadam oleh tangan-tangan yang mahu menyaksikan semangat kemenangan itu musnah. 

Deepavali Nal Valthukal

Generasi Penggerak Zaman

Saifuddin Shafi Muhammad
Presiden
AIC Malaysia




0 comments:

Post a Comment