Wednesday, 5 December 2012

Kali Ini Kita Bertindak Balas

Tersebar seluruh negara tentang kisah semalam, di mana pemerintah yang berpayung dibawah parti bernama Umno akhirnya tidak dapat membendung resah lagi, menggunakan kekerasan dan sikap biadap untuk menghentikan kemaraan lawannya dalam demokrasi, dan susuk yang dibencinya sejak sekian lama iaitu Dato Seri Anwar Ibrahim.


Ribuan mata menjadi saksi, bagaimana lemahnya Pemuda Umno, disebalik provokasi ganas dan maki hamun jelek yang dilontarkan, berselindung di sebalik kekerasan untuk melunturkan semangat rakyat terbanyak, mencari saki baki kebenaran setelah segenap ruang maklumat ditutup oleh pemerintah dek kerana bimbang kuasa yang dijulang rebah sebelum sempat semua kekayaan negara dipunggah keluar.

Lalu anak muda pasti tertanya-tanya, apakah sebenarnya yang diperjuangkan oleh Umno selama ini? Apakah makna pembelaan yang dilaung-laungkan terhadap bangsa , agama dan negara yang mereka laung-laungkan lebih separuh abad yang lalu, sekiranya pembelasahan terharap rakyat awam menjadi kayu ukur kematangan mereka. Apakah Umno melalui sayap Pemuda bertujuan menghidupkan semula Pemuda Tahan  Lasak yang menjadikan kekerasan sebagai modus operandi mereka untuk terus merajai pemerintahan negara?

Kejadian di Gombak hanyalah rentetan kebiadapan dan kebodohan Umno yang telah sekian lama dihidangkan dalam pinggan politik sejak merdeka lagi. Selama tempoh waktu itu, kita hanya menjamah kebiadapan dan kebodohan Umno tanpa banyak bicara, disogok dengan kenyataan palsu bahawa kita wajar bersyukur atas kewujudan Umno sebagai sang pemerintah di negara ini.

Namun, kebangkitan minda tidak sekali-kali bisa ditahan dengan kekerasan dan ugutan, bilamana anak muda tidak lagi bergantung dan mengampu punggung pemerintah, daya mandiri yang melonjak pasti akan menolak pembodohan segera keluar dari keselesaannya. Waktu itu telah tiba tepat pada saat yang diperlukan, anak muda telahpun sedar bahawa Umno adalah nanah yang perlu segera dicuci bagi menyembuhkan luka moral dan maruah yang sekian lama kita deritai.

Kelab Anwar Ibrahim (AIC) tertanya-tanya, adakah sebenarnya apabila kita tidak berpaksi kepada Umno, maka dengan segera masyarakat itu akan dianggap sebagai warganegara kelas kedua dan tidak mempunyai hak untuk menikmati segala yang dijamin terhadapnya didalam perlembagaan? Apakah dengan memakai baju berlambang keris dan dacing, maka segala hukum kanun yang dijunjung sekian lama menjadi tidak lut, sekaligus membenarkan segala jenayah dan kekerasan menjadi halal untuk dilaksanakan?

Kerana hakikat yang dilihat mutakhir ini mendorong minda untuk berfikiran demikian, bahawa seolah-olah menjadi warganegara terpilih sekiranya yang melakukan itu Umno Barisan Nasional, dan yang mempertahankan diri pula dilihat sebagai pengancam dan harus segera dihukum sebagai tanda kemenangan moral mereka yang menzalimi. 

Maka apakah jalan yang tinggal untuk kita? Jalan yang paling baik bukanlah mewujudkan konfrantasi antara warganegara yang baik dengan ahli politik yang jahat. AIC percaya yang perlu wujud adalah kepedulian tentang kebebasan, anak muda perlu ikut campur dan tidak diam. Kali ini kita masuk campur. Kali ini kita bertindak balas. Namun AIC juga percaya kebebasan tidak akan dicapai secara mudah, AIC tahu benar tidak akan ada kebebasan yang mampu dicapai berseorangan,

Justeru menebar angan-angan untuk hidup dalam negara yang lebih baik tidak menjadikan kita berdosa. Sebagai anak muda yang telah dinyalakan pelita pencerahan, maka wajarlah kita bangun dan mula berlari untuk merebut hak kita. Tetapi waspada dengan kebarangkalian kita kehilangan sesuatu, dalam mendapatkan sesuatu yang lain ini. Risiko tetap wujud, namun andai tangan tidak menggapai, masakan akan tergenggam hasilnya.

Generasi kitalah yang menggerakkan zaman ini. Generasi kitalah yang akan memberi warna kepada dunia yang akan dinikmati oleh generasi akan datang, sebelum kita dipersoal dan dipertanggungjawabkan akan kegagalan kita menyediakan ruang kebebasan yang secukupnya, untuk mereka yang seterusnya mengkaryakan angan-angan mereka, menjadi sebuah kehidupan yang tumbuh tinggi di atas lantai realiti.

Anak muda harus bangkit, kerana mereka yang zalim itu sedang menginjak-injak maruah dan hak kamu


Saifuddin Shafi Muhammad
Presiden
AICMalaysia



0 comments:

Post a Comment