Wednesday, 12 December 2012

Marahkan Anwar, Zainuddin Maidin Bakar Hubungan Dengan Indonesia

Kenyataan Media Untuk Edaran Segera

Kelab Anwar Ibrahim
12 Disember 2012


Kelab Anwar Ibrahim (AIC) melihat ketidakupayaan Barisan Nasional sebagai peneraju negara semakin terserlah apabila dengan sengaja mencetuskan perbalahan moral dengan negara serumpun iaitu Indonesia melalui satu penulisan 'sampah' yang ditulis oleh Zainuddin Maidin, mantan Menteri Penerangan dalam Kabinet Tun Abdullah Ahmad Badawi.


AIC melihat penulisan Zainuddin atau lebih dikenali sebagai ZAM ini sebagai penuh rasa sombong dan marah, serta tidak menggunapakai etika penulisan yang sebenar dan malas untuk menggali data-data sebenar bagi menerangkan keadaan. Ini turut menggambarkan Barisan Nasional sebagai betul-betul panik menghadapi pilihanraya umum ke 13 yang akan datang.

Zainuddin Maidin sebagai seorang ahli politik veteran dan pengalaman sebagai bekas editor Kumpulan Utusan tidak menulis artikel itu semata-mata sebagai kolum bacaan biasa, tetapi lebih tertumpu sebagai menipiskan upaya politik dan peluang Dato Seri Anwar Ibrahim dan kekuatan Pakatan Rakyat.

Malah tiada permohonan maaf serta sikap berdiam diri Barisan Nasional menggambarkan artikel itu adalah seolah-olah adalah pendirian rasmi regim Malaysia itu, dan tidak menggambarkan langsung usaha Datuk Seri Najib Razak yang berpendidikan terbuka di Britain, untuk membawa satu pembaharuan dalam "tranformasi' yang dilaungkan, dengan cara rendah mengekang pembangkang dalam pilihanraya.

Sebagai bekas Presiden Republik Indonesia, Prof. Dr. Ing BJ Habibie pastinya salah seorang tokoh yang membawa imej negara republik itu ke mana-mana sahaja negara yang beliau kunjungi, dan menjadi satu imej terhormat di dalam dunia yang terbuka ini untuk beliau rapat dengan sesiapa sahaja yang beliau inginkan tanpa ada sifat prejudis.

Menghina BJ Habibie adalah laksana menghina bangsa Indonesia itu sendiri secara keseluruhannya, meski semasa era pentadbiran beliau tetap menerima kritikan dan perbalahan isu dalam negara, tetapi beliau tetap dihormati sebagai bekas Presiden yang membawa Indonesia melalui zaman reformasi dengan begitu baik, adil dan saksama. 

Ternyata Barisan Nasional sebagai pemerintah gagal memainkan peranan diplomatik yang diperlukan sebagai sebuah kerajaan berdaulat. Mencipta konfrontasi dengan negara luar apatah lagi di saat banyak isu dua hala yang tidak selesai, menggambarkan kerajaan Najib Razak sudah begitu lemah dan pura-pura bertenaga untuk memimpin lima tahun ke hadapan. 

AIC bertegas bahawa penulisan dan etika Zainuddin Maidin itu sama sekali tidak boleh diterima, dan hanya mewakili pandangan individu dan parti komponen Barisan Nasional sahaja, jauh sekali menggambarkan pendirian rakyat Malaysia secara menyeluruh. Rakyat Malaysia menjunjung hubungan baik dengan Republik Indonesia sebagai sahabat terdekat, yang sentiasa bersama-sama negara ini dalam suka dan duka sepanjang penubuhannya sejak dulu. 

Justeru, penulisan Zainuddin Maidin harus dipandang sepi, sebagai satu interpertasi seorang penulis , dan bekas Menteri yang akhirnya telah bertukar menjadi satu penulisan yang cukup bodoh dan kurang ajar, berniat mencemarkan hubungan dua hala semata-mata mencuba untuk memburuk-burukkan imej Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin Malaysia yang sebenar diterima oleh pimpinan dunia terutama di Asean.


Generasi Penggerak Zaman

Saifuddin Shafi Muhammad
Presiden
AIC Malaysia


0 comments:

Post a Comment