Pastinya belum pudar dari ingatan, setahun yang lalu, apabila
puluhan ribu manusia berhimpun untuk mendengar keputusan penghakiman mengenai
seorang sosok pimpinan yang disegani bernama Anwar Ibrahim, yang dituduh
meliwat seorang pembancuh kopi bernama Saiful Bukhari.
Keputusan pembebasan itu sangat dinanti-nanti dengan
penuh debaran serta dalam keadaan separuh nyawa oleh pendokong idealisme Anwar
Ibrahim, dan memberikan tonik tambahan yang sangat diperlukan, apatah lagi
waktu itu rakyat merasakan Pilihanraya Umum ke 13 sudah semakin hampir , dan
pastinya ketiadaan Anwar Ibrahim akan membuatkan rejim Umno Barisan Nasional
akan mudah - mudah meratah Pakatan Rakyat.
Sebelum 9 Januari 2012, terdapat pihak-pihak
yang bermati-matian yakin dengan dakwaan bahawa Anwar Ibrahim meliwat Saiful
Bukhari. Mereka ini memfitnah dan menghina Anwar ldengan seribu tohmahan dan
cacian yang melukakan hati Anwar serta keluarganya. 9 Januari ternyata
penghinaan mereka telah terjawab dengan keputusan mahkamah yang membebaskan
Anwar dari pertuduhan itu.
Tindakan Dr Hassan Ali yang
terang-terangan melarang rakyat untuk menyatakan sokongan terhadap Anwar
Ibrahim adalah satu bentuk penentangan dalaman yang berlaku antara di dalam
Pakatan Rakyat. Walaupun ianya bersifat individu sahaja, serta tidak melambangkan
pendirian PAS secara menyeluruh, namun insiden ini membuka mata bahawa masih
wujud anasir-anasir dalaman yang boleh menyebabkan keretakan serta
ketidakyakinan rakyat kepada keutuhan dan kepimpinan Anwar Ibrahim
Setahun yang lalu itu terus menguatkan keyakinan
kepada Anwar untuk muncul sebagai Perdana Menteri , bagi menamatkan
dominasi paksa gerombolan Melayu yang memerintah secara zalim dan penuh
penindasan.Tidak dinafikan sebelum itu ada juga penyokong yang putus harapan,
keliru dan juga hilang tumpuan dan kini kembali menzahirkan sokongan kepada Anwar
Ibrahim.
Setahun yang lalu, adalah paksi dari sokongan
berpuluh tahun anak-anak muda terhadap sebuah idea segar yang digarap oleh
insan bernama Anwar Ibrahim. Anwar, sejak zaman mahasiswanya tidak pernah gagal
untuk menjadi inspirasi anak muda, dan hal demikian tmasih berterusan sehingga
ke hari ini. Inilah kekuatan sebenar Anwar Ibrahim yang digeruni oleh musuh
politinya, sehingga sanggup mereka menganiayai Anwar sedemikian rupa.
Anak muda setahun yang lalu, pada minggu-minggu
akhir sebelum 9 Januari 2012, begitu giat berkempen di laman sosial, di
pentas-pentas ceramah, di warung-warung kopi dan di masa sahaja melalui
penulisan mahupun butir kata, untuk menyakinkan rakyat terbanyak, bahawa idola
mereka ini tidak bersalah dan terperangkap dalam fitnah politik. Anak muda lah,
yang menjadi penggerak untuk menyelamatkan bukan sahaja sosok, tetapi daya
upaya serta pemikiran Anwar Ibrahim agar tidak terhumban sekali lagi ke dalam
penjara.
Kekuatan mental dan fizikal ini datang dari
keyakinan, bahawa Anwar Ibrahim adalah manusia paling sesuai pada waktu ini
untuk membuka jendela baru buat perubahan, Anak muda sedar, mereka perlu lebih
kuat dan mereka perlu lebih ke hadapan kerana apa yang mereka perjuangkan ini
bukan sekadar maruah Anwar Ibrahim semata-mata, tetapi juga masa depan dan
kehidupan mereka.
Anak muda setahun yang lalu, begitu cemas dan
gelisah apabila memikirkan pemimpin yang berkarisma seperti Anwar Ibrahim, mahu
diseret oleh pemerintah zalim untuk sekali lagi menghuni tirai besi. Anak muda
tahu, jika itu berlaku maka harapan dan cita-cita melihat tanah air yang lebih
berkeupayaan akan lenyap dan menjadi samar-samar.
Pembebasan Anwar Ibrahim disambut dengan begitu
semangat dan beremosi, bukan sedikit anak muda dan rakyat menitiskan airmata
kegembiraan. Nadi mereka yang sebelum itu seakan terhenti, kembali berdenyut
deras dan seolah-olah mereka melihat pagar Putrajaya telah terbuka dengan
sendirinya dan menunggu daulah keadilan untuk diletakkan di tempat yang
sepatutnya.
Justeru, peranan anak muda harus diteruskan untuk
mencapai apa yang mereka sendiri mimpikan. Sokongan dan semangat anak muda
seperti yang ditunjukkan setahun yang lalu, dan tahun-tahun sebelum itu, tidak
harus terkubur hanya kerana Anwar Ibrahim telah bebas dari fitnah jahat.
Perjalanan sudah dekat, tapi masih jauh, Kekuatan mental dan fizikal masih
diperlukan dalam babak terakhir pertempuran hak ini.
Maka , atas semangat dan usaha keras yang
ditunjukkan oleh anak muda setahun yang lalu itu, serta tahun tahun sebelumnya,
wajarlah anak muda ini tidak dipinggirkan dalam pembentukan negara yang lebih
baik. Anak muda dari segelap lapisan masyarakat, dan pelbagai bidang
profesional mahupun akademik harus terus diberi kepercayaan untuk turut serta
dalam membuat perubahan.
Anak-anak muda inilah nadi reformasi , dan tanpa
desakan mereka, iltizam yang ditunjukkan serta semangat yang mereka hamparkan,
mungkin tanggal 9 Januari hari ini , diingati dengan cara yang sedikit
berbeza, mungkin dengan penuh kekecewaan dan kegagalan. Kerana anak muda lah,
setahun yang lalu skrip berubah dan kejatuhan rejim Umno Barisan Nasional
semakin dekat.
GENERASI PENGGERAK ZAMAN
SAIFUDDIN SHAFI MUHAMMAD
Presiden
AIC Malaysia
0 comments:
Post a Comment