SHAH ALAM 18 MAC: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan
falsafah idealisma di dalam institusi pendidikan yang selama ini
disekat oleh Kerajaan Umno-BN perlu diubah demi memastikan generasi muda
sentiasa berfikiran matang dalam melakukan perubahan.
Menurutnya, insiden yang menimpa mahasiswa jurusan Undang-Undang
Universiti Utara Malaysia, KS Bawani adalah suatu bukti bahawa masih
terdapat golongan mahasiswa yang tidak menyedari kepentingan falsafah
idealisma.
“Saya nonton video klip listen,listen,listen dan saya sedih, kerana
bagaimana mungkin sebahagian anak-anak muda atau mahasiswa yang boleh
begitu sekali hilang idealismanya,” katanya dalam satu sesi Dialog
Bersama Anak Muda anjuran Anwar Ibrahim Club (AIC) di Bandar Utama
baru-baru ini.
Melalui rakaman yang dipaparkan di laman Youtube itu, terdapat juga
dikalangan mahasiswa yang tertawa dan bertepuk tangan sewaktu Bawani
dihalang dan dimalukan oleh Presiden Suara Wanita 1Malaysia, Sharifah
Zohra Jabeen Syed Shah Miskin daripada memberikan pendapat mengenai
pendidikan percuma dalam satu forum yang dianjurkan di universiti
tersebut.
Selain itu, Anwar berpendapat keupayaan dan ketajaman pemikiran
mahasiswa turut dipengaruhi oleh para pensyarah di insititut pendidikan
tinggi di negara ini.
“Ada professor yang baik dan ada yang saya kenal dan memang layak
digelar professor, ada yang cukup komited dan tinggi penghormatan saya.
“Tapi saya juga tahu ada professor ‘kangkung’, yang kerjanya masuk
kuliah, ampu, sekat, ugut dan bawak pandangan anti intellektualisma,
anti kebebasan akademik dan ini akan menumpulkan keupayaan dan ketajaman
mahasiswa,” ujarnya di hadapan 200 peserta.
Tuesday, 19 March 2013
Anwar Ibrahim: Falsafah Pendidikan Negara Perlu Diubah #MeetAnwar


0 comments:
Post a Comment