Wednesday, 4 September 2013

Himpunan Solidariti Kemanusiaan - 6 September 2013


Himpunan Solidariti Kemanusiaan akan diadakan 6 September (Jumaat) ini di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor mulai 6 petang hingga 11.15 malam.

Dengan tema ‘Mengangkat Karamah Insaniah, Membela Maruah Ummah’, himpunan anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia dan NGO-NGO Kemanusiaan Malaysia itu antara lain menampilkan slot pidato pemimpin umat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Mahfuz Omar dan Usamah Hamdan (Hamas).
Anwar menyeru umat Islam yang cintakan keamanan hadir beramai-ramai pada himpunan itu.
“Kita mesti buktikan dengan pendirian yang tegas menentang kezaliman dan kerakusan kuasa yang berlaku seperti di Mesir, Syria dan Palestin,” tegas Ketua Umum KEADILAN itu.

Beliau berucap demikian pada sambutan Ambang Merdeka dan majlis Rumah Terbuka KEADILAN Kedah di Taman Seri Wang, di sini 30 Ogos lalu.

Anwar berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diibarat masih lagi dijajah selagi tidak bersuara terhadap kezaliman ke atas umat Islam, khususnya Mesir dan Syria.

Ia ekoran sikap Najib yang dilihat tidak tegas menyatakan pendirian, termasuk isu penindasan membabitkan umat Islam di Palestin.

“Sehingga kini, Perdana Menteri masih tidak berani menyatakan pendirian tegas mengenai kezaliman yang berlaku walaupun beberapa kali didesak untuk berbuat demikian.

“Apakah setelah Amerika menyatakan pendirian mereka, baru Malaysia mahu menyokong. Ini tindakan tidak betul. Malaysia mesti berpendirian tanpa menanti keputusan Amerika.

“Sekiranya ini pun Najib tak berani, negara bukan saja mempunyai pemimpin yang tidak merdeka pemikiran, tetapi masih lagi terjajah dan tidak bebas,” katanya.

Amerika baru-baru ini mengumumkan akan melakukan serangan terhadap Syria yang dipimpin diktator Bashar Al Assad ekoran dakwaan penggunaan senjata kimia yang menyebabkan lebih 600 rakyatnya terbunuh.

Pada masa sama, krisis di Mesir bagaikan tidak berkesudahan menyaksikan ribuan rakyat terkorban selepas junta tentera merampas kuasa daripada presiden yang sah dipilih rakyat, Mohammad Morsi.

Hadir sama dalam program tersebut, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul; Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mohd Rashid Hasnon serta pimpinan Pakatan Rakyat Kedah dan Pulau Pinang.

0 comments:

Post a Comment