About A.I.C

Kelab Anwar Ibrahim (lebih dikenali sebagai Anwar Ibrahim Club) [AIC] ditubuhkan atas inisiatif sekumpulan anak muda sebagai sebuah platform untuk memupuk sokongan moral dan perjuangan ke atas pemimpin karismatik Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. AIC menyediakan platform buat kelompok muda khususnya dan rakyat Malaysia amnya untuk memupuk iltizam dan semangat ke arah melahirkan Malaysia yang lebih baik dan demokratik melalui aktivisme yang bersifat santai dan bebas dari pengaruh politik kepartisan.

AIC mendukung inspirasi anak-anak muda yang datang daripada pelbagai latar belakang, termasuklah politikus muda, seniman dan budayawan, mahasiswa, ahli perniagaan dan sebagainya yang percaya bahawa idealisme Anwar Ibrahim bukan sekadar satu idealisme yang akan hidup pada kadar 5 -10 tahun tetapi adalah satu idealisme yang unggul yang mampu membawa Malaysia ke arah yang lebih adil & demokratik.

AIC tidak ditubuhkan atas inisiatif Anwar, sebaliknya merupakan inisiatif sekelompok anak muda yang kagum dengan inspirasi idealisme Anwar Ibrahim yang mereka yakini boleh ‘menjenamakan semula’ Malaysia dalam prospek yang lebih baik. AIC tidak terlibat di dalam mana-mana parti politik, meskipun ada di antara penggiatnya merupakan penggiat aktif di dalam parti-parti politik.

AIC ditubuhkan dengan satu matlamat yang menjangkaui batasan politik kepartian di mana ianya bersifat universal tanpa sebarang limitasi penyertaan daripada mana-mana pihak. Lebih penting, sokongan dikumpul bukan semata-mata ke atas batang tubuh Anwar Ibrahim sebaliknya lebih memberikan tumpuan kepada idea perjuangan yang digarap oleh Anwar Ibrahim demi memacu pertumbuhan dan pembangunan Malaysia sebagai sebuah negara demokratik ke arah masa depan yang lebih efektif berasaskan kepada agenda perubahan dan reformasi.

Berasaskan kepada asas penubuhan ini, ianya telah mencapah kepada beberapa objektif penting penubuhan AIC, iaitu:

  1. menjadi platform untuk memupuk sokongan kepada idealisme Anwar Ibrahim, di mana AIC akan memainkan peranan sebagai sebuah badan yang lebih luas lingkungan keahliannya di mana tidak ada kekangan mana-mana ideologi parti politik yang mendominasi aktivisme AIC;
  2. menyediakan ruang pendidikan khususnya untuk golongan muda agar perjuangan berasaskan sentimen tidak lagi menjadi belenggu kepada golongan muda daripada mendekatinya, dalam erti kata lain menjadikan perjuangan sebagai satu cabang yang lebih bermakna dan lebih menarik;
  3. untuk menyedia dan mengendalikan seminar, forum, dialog, dan aktiviti-aktiviti sosial berbentuk riadah sebagai satu daripada ruang untuk memupuk silaturrahim antara sesama ahli komuniti;
  4. menyebarluas maklumat berkenaan idea-idea yang berkisar persoalan integriti, demokrasi dan kebebasan, nahdah kebangkitan ummah melalui pembentukan masyarakat madani untuk mendidik masyarakat Malaysia agar tahu akan tanggungjawab ke arah menjadi warganegara yang berperanan.